POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima sebanyak 45 laporan berhubung dakwaan pemalsuan dokumen yang membabitkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata laporan pertama berhubung perkara itu dibuat oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 24 Disember lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Menurutnya, setakat ini pihak polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan penipuan.

“Sehingga kini, sebanyak 45 laporan telah diterima oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK). Selain itu, polis juga telah merakam percakapan lapan individu bagi membantu siasatan,” katanya ketika ditemui media hari ini.

Bagaimanapun, identiti individu yang dirakam percakapan tersebut tidak didedahkan kepada umum.

Sebelum ini, Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi, menjelaskan bahawa tindakan membuat laporan polis itu dibuat selaras dengan saranan Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC).

Jawatankuasa berkenaan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif, selepas selesai menjalankan siasatan terhadap isu tersebut pada Disember lalu.

Dalam kenyataannya, Mohd Yusoff menegaskan bahawa FAM komited untuk bekerjasama sepenuhnya dengan PDRM serta menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan.

“Langkah ini mencerminkan komitmen FAM terhadap integriti, ketelusan dan pembaharuan tadbir urus demi menjaga kepentingan bola sepak negara,” katanya.