PASUKAN bola sepak kebangsaan akan melayan kunjungan Turkmenistan pada aksi persahabatan Tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim pada Khamis.

Beraksi di halaman sendiri, peluang kem Harimau Malaya untuk menang cukup terbuka.

Malah, jurulatih negara, Kim Pan-gon pastinya menggunakan segala ramuan rahsia yang ada dalam tangannya termasuk tindakan berani memanggil lapan muka baharu dalam skuad yang berhimpun di Padang Sri Gelam, Johor Bahru.

Pengendali asal Korea Selatan itu dijangka akan memastikan Malaysia tidak akan bermain secara bertahan dan bakal menerapkan tempo gaya permainan yang bagus dan serba menyerang sebaik wisel pertama ditiupkan.

Seramai 27 pemain yang dipanggil dalam keadaan cergas selepas berlatih sejak Sabtu lepas. Tinjauan FLASH SUKAN pada petang semalam dapati moral pemain negara berada pada tahap tertinggi dan dilihat selesa menggunakan segala fasiliti disediakan kelab Johor Darul Ta’zim.

Perlawanan menentang Turkmenistan menjadi sasaran idea buat pasukan Harimau Malaya. Sebabnya, pada aksi pusingan kelayakan akhir Piala Asia 2023 di Bukit Jalil tahun lepas, Malaysia berjaya melakar kemenangan sensasi 3-1 hasil gol Safawi Rasid, Faisal Halim dan Corbin Ong.

Berikut adalah lima faktor Malaysia bakal mampu menumbangkan pasukan digelar Karakum Warrior di Iskandar Puteri nanti.

Endrick pertama kali dipanggil ke kem pasukan kebangsaan di Padang Sri Gelam.

Brazilian Connection

Kelibat pemain naturalisasi dari Brazil, Paulo Josue dan Endrick Santos mungkin penyelesaian masalah di bahagian tengah kem kebangsaan yang tercari-cari watak playmaker sejati.

Pan-gon boleh mencuba gandingan mereka kerana tampil agak sempurna di saingan domestik musim ini. Walaupun kedua-duanya tidak pernah digabungkan dalam mana-mana kelab terdahulu tidak mustahil resipi yang ditetapkan jurulatih mampu difahami Josue dan Endrick

Ditambah kelebihan faktor fizikal dan miliki tempoh rehat yang cukup, Josue diyakini mampu membuat hantaran lintang ke arah penyerang depan dalam usaha memburu gol. Kapten Kuala Lumpur City FC berusia 34 tahun itu juga berkebolehan menghasilkan jaringan dalam situasi luar jangka.

Arif Aiman bersedia diturunkan pada bila-bila masa diperlukan.

Prestasi memuncak Arif Aiman

Penyerang Johor Darul Ta’zim, Arif Aiman Hanapi juga boleh menjadi pemain kunci skuad kebangsaan bertemu Turkmenistan.

Arif Aiman memang baru berusia 20 tahun. Tetapi, dia sudah terbiasa bermain pada peringkat senior. Arif setakat ini telah merekodkan tiga gol di kempen Liga Super.

Uniknya, dia mampu bermain sebagai pemain sayap, pemain sayap bertahan dan kadang-kadang sebagai penyerang.

Misi tebus kekalahan

Kualiti menghasilkan gol para pemain negara memang diragukan dalam beberapa perlawanan Piala AFF 2022. Namun, secara umum, prestasi Malaysia tidaklah terlalu buruk.

Malaysia hanya kalah sekali semasa peringkat kumpulan Piala AFF 2022 sebelum disingkirkan Thailand di separuh akhir.

Namun, kembalinya pemain JDT seperti Akhyar Rashid, Matthew Davies dan Syafiq Ahmad memberikan lebih variasi buat Pan-gon bergerak lebih pantas dalam corak permainan.

Kim Pan-gon ada falsafah terap permainan pantas.

Waktu sesuai Kim Pan-gon cipta kemenangan

Penyingkiran di pentas Piala AFF lepas mungkin memberi kesan mendalam buat Pan-gon. Tetapi, dia ada rekod baik semasa mengalahkan Turkmenistan.

Kini, tiba masanya untuk Pan-gon dapat meraih kemenangan penting dan moral di Johor. Jurulatih berusia 53 tahun itu mempunyai modal yang baik.

Dia telah membina pasukan kebangsaan pada tahap yang boleh dikatakan membanggakan setakat ini. Sudah tentu kemenangan wajar digapai dalam dua perlawanan persahabatan Tier 1 sepanjang Ramadan.

Lautan penyokong Harimau Malaya bakal gegar Stadium Sultan Ibrahim.

Gelora ajaib Stadium Sultan Ibrahim dan penyokong

Sudah tentu, faktor sokongan. Harimau Malaya akan menerima sokongan penuh daripada peminat fanatik. Kewujudan pemain ke-12 itu akan menjadi faktor penting untuk Malaysia menewaskan lawan.

Sokongan untuk Syihan Hazmi dan rakan-rakan pastinya sangat besar. Stadium Sultan Ibrahim bakal menghadirkan rasa ‘ajaib’ dengan warna hitam kuning mendominasi tempat duduk.

Situasi ini boleh menjadi tekanan mental buat pemain Turkmenistan. Teruskan menyokong perjuangan pasukan kebangsaan. Selamanya Harimau Malaya !