JUARA bertahan, Aaron Chia-Soh Wooi Yik memulakan misi mempertahankan kejuaraan Kejohanan Badminton Asia dengan bergaya apabila melangkah ke pusingan kedua di Ningbo, China, hari ini.
Pasangan nombor dua dunia itu hanya memerlukan 38 minit untuk menundukkan gandingan Taiwan, Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi Lin 21-15, 21-15 dalam aksi pusingan pertama di Pusat Sukan Olimpik Ningbo, sekali gus melebarkan rekod pertemuan kepada 3-1.
Gandingan pilihan kedua itu dijangka berdepan sama ada pasangan China, Hu Ke Yuan-Lin Xiang Yi atau wakil Hong Kong, Law Cheuk Him-Yeung Shing Choi dalam pusingan seterusnya. Juara dunia 2022 itu turut memburu kejuaraan pertama musim ini selepas muncul naib juara di Terbuka Malaysia dan Seluruh England.

Namun, nasib berbeza menimpa pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao apabila tersingkir seawal pusingan pertama selepas tewas kepada pemain nombor empat dunia dari Indonesia, Jonatan Christie.
Pemain ranking ke-23 dunia itu tunduk 13-21, 8-21 dalam tempoh 36 minit, sekali gus menyaksikan kekalahan keempat daripada tujuh pertemuan antara mereka.
Kekalahan tersebut turut menggambarkan prestasi tidak menentu Jun Hao musim ini apabila tersingkir di pusingan pertama dalam tiga daripada lima kejohanan yang disertainya, dengan pencapaian terbaik setakat ini hanya mara ke pusingan kedua Terbuka Malaysia dan All England.