PERSAINGAN untuk gelaran penyerang terbaik dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK24-25) kini memasuki fasa klimaks apabila tiga calon akhir diumumkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan masing-masing membawa cerita serta statistik yang cukup meyakinkan.
Nama Paulo Josue pastinya paling hangat disebut. Kapten berwibawa Kuala Lumpur City FC ini sekali lagi menjadi nadi utama The City Boys apabila meledak 17 gol dan mencipta tiga bantuan gol dalam 23 penampilan liga musim ini.

Paulo Josue Kapten pasukan Kuala Lumpur City FC
Bukan sekadar penggerak tengah, Paulo menunjukkan ketajaman luar biasa di depan gol meskipun bukan penyerang tulen. Dengan dua sahaja kad kuning dan hanya 11 foul dilakukan, dia tampil sebagai pemain yang bukan sahaja efektif tetapi juga disiplin tinggi.
Lebih menarik, Paulo kini bergelar penjaring terbanyak sepanjang zaman KL City dengan 81 gol, memintas legenda tempatan, Fandi Ahmad yang memiliki 67 jaringan.
Namun, cabaran datang dari selatan tanah air menerusi Romel Morales, penyerang naturalisasi JDT FC yang terus menjadi pilihan utama skuad Harimau Selatan.

Romel Morales, penyerang naturalisasi JDT FC.
Dalam 17 penampilan liga, Romel menyumbat tujuh gol dan satu bantuan jaringan. Walaupun jumlah golnya tidak setinggi Josue, sumbangannya tetap signifikan dalam memastikan JDT mengekalkan kejuaraan Liga Super buat kali ke-11 berturut-turut serta menjuarai Piala FA musim ini.
Kualiti teknikal dan penyudah tajam menjadikan Romel ancaman kekal di depan gawang lawan.

Darren Lok dari Sabah FC
Sementara itu, Darren Lok dari Sabah FC turut mengintai peluang mencipta kejutan.
Penyerang berdarah kacukan ini mungkin tidak seproduktif dua calon lain dari segi jumlah jaringan dengan hanya tiga gol dan satu bantuan jaringan dalam 16 aksi dalam liga, namun kehadirannya tetap penting dalam struktur pasukan.
Gaya permainan agresifnya dibuktikan dengan 24 foul dilakukan namun hanya menerima satu kad kuning, menunjukkan ketahanan dan semangat juangnya di atas padang.
Tiga nama, tiga cerita berbeza, namun hanya satu akan dinobat sebagai penyerang terbaik ABK24-25.
Adakah Josue akan melengkapkan musim gemilangnya dengan trofi individu? Mampukah Romel Morales membawa pulang satu lagi pengiktirafan buat JDT? Atau Darren Lok tampil sebagai ‘underdog’ yang merobek segala ramalan?
Segalanya bakal terjawab tidak lama lagi di pentas penuh prestij ABK24-25 kelak.