PENERJUN negara, Datuk Pandelela Rinong mendakwa wujud pihak sebagai ‘mengganggu’ skuad terjun negara sehingga membawa ‘padah’ di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar, minggu lalu.

Pandelela bersama rakan dari sukan terjun, Nur Dhabitah Sabri, yang berada dalam senarai atlet dalam program Road to Gold (RTG), terlepas peluang ke Paris 2024 selepas gagal mempamerkan prestasi terbaik.

Malangnya, penerjun berasal dari Sarawak itu gagal melayakkan diri dalam acara kegemarannya, 10 meter (m) platform individu, selepas tersingkir di peringkat saringan selepas menduduki ranking ke-29.

Lebih malang, Pandelela turut terlepas tiket ke Paris dalam acara 10m platform seirama bersama Dhabitah, apabila mengakhiri acara final pada kedudukan ke-12 daripada 16 pasangan.

Datuk Pandelela Rinong turut terlepas peluang ke Paris dalam acara 10m platform seirama bersama Nur Dhabitah Sabri.

Enggan menceritakan apakah gangguan yang berlaku dan pihak mana yang melakukannya, Pandelela nekad membawa perkara terbabit kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Menurutnya, perkara itu perlu di bawa ke peringkat lebih tinggi kerana tidak mahu berterusan selepas ia menjejaskan prestasi penerjun senior dan junior.

“Ada perkara yang tidak kena berlaku dan itulah yang terjadi. Perkara itu telah menjadi tambahan kepada semua yang berlaku.

“Perkara ini di luar kawalan kami… yang mana kami boleh kawal, kami cuba untuk mengawalnya. Adalah benda yang berlaku di luar jangkaan kami, hendak diperjelaskan nanti panjang cerita. Apa yang saya boleh katakan ada perkara luar jangkaan yang berlaku dan nasib tidak menyebelahi kami.

“Boleh dikatakan hampir semua kami (penerjun) terkesan dengan perkara ini. Dia bukan sahaja mengganggu penerjun senior, juga penerjun junior,” katanya.

Pandelela Rinong meraih pingat Perak Olimpik Rio dan Gangsa Olimpik London.

Didesak sama ada beliau mahu membawanya ke pengetahuan menteri, Pandelela berkata: “Ya! Kami akan membincangkannya secara dalaman.”

Untuk rekod, Pandelela pernah beraksi dalam empat Temasya Olimpik bermula dari Beijing 2008, London 2012, Rio 2016 dan Tokyo 2020.

Atlet kelahiran Sarawak itu mencipta sejarah sebagai atlet wanita pertama negara memenangi pingat Olimpik (gangsa) menerusi acara 10m platform individu di Temasya London.

Empat tahun kemudian, dia meraih pingat perak bersama juara dunia, Cheong Jun Hoong menerusi acara 10m platform seirama wanita di Temasya Rio.