KETUA jurulatih skuad kebangsaan B-23, E. Elavarasan menjelaskan Malaysia turut berdepan masalah yang sama dengan pasukan Indonesia yang juga tidak dapat membawa pemain terbaik kerana Kejuaraan AFF B-23 2023 ini berada di luar kalendar Fifa.

Elavarasan juga mahu menggunakan kejuaraan ini sebagai platform terbaik buat semua pemain membuktikan kemampuan mereka untuk dipilih ke Kelayakan Piala AFC B-23 yang juga dilangsungkan di Thailand pada September.

“Cabaran kami sama seperti Indonesia, kami tidak dapat membawa semua pemain yang diperlukan kerana saingan liga yang sedang berjalan dan akan gunakan kejohanan lebih kepada persediaan untuk menghadapi Kelayakan Piala AFC.

 

“Kami akan gunakan kejuaraan ini dengan sebaiknya untuk memberi peluang kepada muka-muka baharu yang berpotensi untuk mewakili skuad Malaysia,” katanya dalam sidang media di Rayong, Thailand.

Pembantu Kim Pan-gon itu juga berkata Malaysia menghormati semua pasukan yang bertanding dan dia mahu para pemain menggunakan peluang ini untuk menimba pengalaman dan memperbaiki mutu pasukan.

“Kami menghormati semua pasukan yang bertanding. Setiap kejohanan adalah proses untuk menambah pengalaman buat para pemain sekaligus kita dapat meningkatkan lagi kualiti pasukan,” ujarnya.

Sementara itu pengendali Indonesia, Shin Tae-yong pula menganggap kejuaraan ini umpama perlawanan persahabatan sahaja kerana tidak dapat melakukan persiapan dengan baik kerana tidak mendapat pelepasan dari kelab untuk pemain yang terbaik.

“Persiapan kami tidak begitu baik. Sebagai ketua jurulatih saya tidak dapat membawa semua pemain yang saya mahukan kerana liga tempatan sedang berjalan dan kami anggap kejuaraan di sini sebagai perlawanan persahabatan sahaja, katanya.

Malaysia dan Indonesia akan berentap dalam aksi pembukaan Kumpulan B pada Jumaat sebelum bertemu dengan satu lagi pasukan Timor Leste bagi merebut tempat teratas kumpulan untuk layak ke separuh akhir.