DALAM usaha memperkukuh pembangunan bola sepak dari peringkat bawah, Selangor FC kini menjadikan program akar umbi mereka sebagai fokus utama dalam strategi pemasaran dan penajaan kelab. Bagi Faruk Fadzil, Pengurus Besar (Perkongsian & Penajaan) Selangor FC, nilai komersial program akar umbi semakin diiktiraf jenama besar yang ingin menyasarkan komuniti, keluarga dan golongan muda.
“Program akar umbi adalah antara produk terpenting kami untuk dipasarkan. Bagi sesetengah jenama, seperti produk tenusu atau makanan kesihatan, kita tidak tawarkan di Super League tetapi kita bawa mereka terus ke program akar umbi,” ujar Faruk ketika ditemui di acara LALIGA EXTRATIME di Kuala Lumpur.

Faruk ketika ditemui di acara LALIGA EXTRATIME di Kuala Lumpur.
Beliau berkata, untuk meyakinkan penaja agar melabur dalam program pembangunan belia, kelab perlu menyediakan pelan jangka pendek, sederhana dan panjang yang jelas. “Kami bukan simpan rahsia. Kami kongsi pelan pembangunan dan bila mereka nampak kesungguhan kami, barulah mereka terbuka untuk mempertimbangkannya,” katanya.
Bagi Faruk, kejayaan menarik penaja ke program akar umbi tidak datang dengan mudah, sebaliknya memerlukan pendekatan tersusun dan pemahaman terhadap keperluan setiap jenama. Malah, Selangor FC turut menawarkan pendekatan yang boleh disesuaikan – termasuk program penajaan sekolah tertentu dengan kos khusus.

FOTO: SFC Soccer School
“Contohnya, untuk menaja satu program selama setahun melibatkan 80 pelajar, kosnya sekitar RM825,000. Jika ada individu atau syarikat mahu fokus pada sekolah itu sahaja, kita boleh sediakan program mengikut kehendak mereka.”
Tambah beliau, keutamaan kebanyakan jenama masa kini adalah keberkesanan pemasaran digital. Justeru, program akar umbi yang menekankan penciptaan kandungan dan video pendek dilihat lebih menarik perhatian penaja yang ingin menembusi pasaran generasi muda.

Faruk ketika ditemui di acara LALIGA EXTRATIME di Kuala Lumpur.
Faruk turut berkongsi harapan agar sistem akar umbi di Selangor dapat terus mencetak pemain berkualiti yang mampu beraksi di pentas antarabangsa. “Bila mereka mencecah usia 15 atau 16 tahun, kami mahu bakat ini dibimbing oleh kelab luar negara seperti di Belgium atau Jepun. Ia bukan sekadar membuka peluang, tapi mematangkan mereka sebagai pemain.”
Jelasnya, misi jangka panjang Selangor FC adalah menjadikan akar umbi bukan sahaja sebagai asas pembangunan sukan, tetapi juga sebagai produk yang mempunyai nilai pasaran tinggi dan mampu menarik kerjasama strategik untuk masa depan bola sepak negara.