KEJUTAN terbesar dalam sejarah Piala Dunia Kelab 2025 tercipta apabila wakil Asia, Al Hilal menundukkan juara Eropah, Manchester City 4-3 dalam aksi penuh dramatik yang berlanjutan ke masa tambahan di Orlando, awal pagi tadi.
Marcos Leonardo menjadi wira Al Hilal dengan dua jaringan, termasuk gol kemenangan minit ke-113 untuk menyingkirkan pasukan bimbingan Pep Guardiola yang sebelum itu dilihat selesa selepas gol awal Bernardo Silva pada minit ke-9.
Namun, segala berubah selepas rehat. Dalam tempoh enam minit, Al Hilal membalas menerusi jaringan pantas Leonardo dan Malcom memaksa City berhempas pulas mencari rentak. Erling Haaland menyamakan kedudukan pada minit ke-55, mengheret perlawanan ke masa tambahan.
Empat minit selepas waktu tambahan bermula, Kalidou Koulibaly melonjak tinggi menanduk masuk sepakan sudut Ruben Neves sekali lagi meletakkan Al Hilal di hadapan sebelum Phil Foden menyamakan kedudukan buat City.
Namun, detik bersejarah milik Leonardo apabila beliau meledak gol penamat tujuh minit sebelum tamat masa tambahan, memeterai kemenangan bersejarah buat kelab dari Riyadh itu dan menyingkirkan gergasi England.
Dengan kemenangan ini, Al Hilal mara ke suku akhir bertemu Fluminense, wakil Brazil yang turut mencipta kejutan menewaskan Inter Milan menjadikan laluan ke separuh akhir kini lebih terbuka buat wakil-wakil bukan Eropah.
Asia bangkit, Eropah tergelincir Piala Dunia Kelab 2025 mula mencipta cerita luar jangka.