BEKAS pesilat negara Mohd Al-Jufferi Jamari yang mula menjadi jemputan di pentas-pentas program hiburan televisyen, bertambah laris apabila diundang sebagai jurulatih di Uzbekistan dan Kazakhstan.

Difahamkan Al-Jufferi yang berasal dari Kuantan, Pahang, akan berlepas ke negara terbabit pada Disember ini untuk melihat perkembangan sukan silat di negara terbabit sebelum bergelar jurulatih mereka.

Menurutnya, , kedua-dua negara terbabit dilihat cukup serius dalam mengembang dan melahirkan pesilat bertaraf dunia sekali gus bakal menjadi pesaing hebat untuk Malaysia pada masa akan datang.

“Uzbekistan dan Kazakhstan memerlukan jurulatih terbaik kerana mereka merancang untuk melahirkan pesilat bertaraf dunia.

“Mereka memilih saya kerana berdasarkan kepada rekod sebelum ini dan kaedah atau teknik digunakan ketika bertempur.

“Saya tidak dapat pastikan berapa lama tempoh untuk berada di negara terbabit namun gembira kerana dapat mengembangkan ilmu persilatan di sana,” katanya.

Al-Jufferi merangkul kejuaraan dunia sebanyak empat kali sebelum mengumumkan persaraannya pada Ogos tahun lalu.

Sebelum ini, beliau memenangi kejuaraan dunia di Chiang Rai, Thailand (2012); Phuket, Thailand (2015) dan Bali, Indonesia (2016).

Pada temasya Sukan SEA pula, Al Jufferi merangkul empat pingat emas di Indonesia (2011), Myanmar (2013), Singapura (2016) dan Kuala Lumpur (2017).

Sementara itu, Al Jufferi berkata, beliau akan tetap menabur bakti kepada tanah air dengan membantu melahirkan pelapis pesilat negara pada masa akan datang.

“Saya turut terbabit dalam pembangunan silat di negara ini demi memastikan Malaysia dapat melahirkan pesilat bertaraf antarabangsa pada masa akan datang,” katanya.