HELAH mendapatkan rawatan, berhasil mematahkan kebangkitan pemain lawan, ketika beregu pelapis elit kebangsaan Yap Roy King-Wan Arif Junaidi mencipta satu lagi kejutan ke separuh akhir Masters Malaysia 2024.
Gandingan muda negara itu, mempamerkan aksi luar biasa ketika berdepan pilihan keenam kejohanan dari Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard, apabila berjaya menyerap tekanan dengan baik ketika lawan memungut empat mata berturut-turut, di penghujung set penentuan.
“Kunci kemenangan hari ini adalah ketenganan dan lebih bersabar berbanding pemain lawan, tetapi di penghujung kami juga hilang sabar.

Wan Arif Junaidi mengakui gementar apabila pasangan Denmark memperoleh empat mata berturut-turut.
“Kami bernasib baik apabila berjaya meyakinkan pengadil untuk mendapat rawatan daripada pasukan perubatan, untuk menggangu kebangkitan lawan,” kata Arif, selepas menamatkan perlawanan dengan kemenangan ke atas beregu Denmark yang berada di ranking ke-18 dunia, 21-18, 14-21, 21-18.
Pada set penentuan, Roy King-Arif mendahului 19-14, namun Kjaer-Sogaard mengejar dengan memperoleh empat mata berturut-turut sehingga kedudukan 19-18.
“Sebenarnya ketika itu, kami melakukan banyak kesilapan kerana terlalu teruja nak menang, kami memang fikir sudah menang dan saya harap perkara ini tidak terjadi lagi.”

Yap Roy King mahu mengurangkan kesilapan pada perlawanan separuh akhir.
Di pusingan kedua semalam, Roy King-Arif mengejutkan pemain nombor 12 dunia yang juga pilihan keempat kejohanan dari Chinese Taipei, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan.
Kini mereka mengatasi pilihan keenam dan melangkah ke separuh akhir Masters Malaysia buat kali pertama.
“Memang tidak sangka masuk ke semi final, mereka ranking lebih tinggi dan awal-awal lagi ketika melihat undian, laluan kami sukar.

Yap Roy King-Wan Arif Junaidi berjaya mengatasi pasangan di ranking Top 20, apabila mengalahkan Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard.
“Kita sasarkan ke suku akhir sahaja tapi apabila sudah mara ke separuh akhir… kita mesti nak ke final atau juara,” ujar Arif, yang bertambah bersemangat.
Ironinya, kejutan yang yang dilakukan Roy King-Arif, pemain nombor 47 dunia itu, menyaksikan mereka menewaskan pasangan nombor dua dari Chinese Taipei dan juga Denmark.

Finalis tahun lalu, Man Wei Chong-Tee Kai Wun terkandas di suku akhir.
Di separuh akhir esok, mereka bakal berdepan sama ada pilihan kedua kejohanan dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen atau gandingan nombor dua negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.
Sementara itu, naib juara tahun lalu, Man Wei Chong-Tee Kai Wun gugur di suku akhir, selepas tunduk kepada kehebatan pemain China, He Ji Ting-Ren Xiang Yu 18-21, 16-21.