INSIDEN kontroversi yang tular beberapa hari lalu, membabitkan tindakan seorang jurulatih bola tampar menggunakan reaksi fizikal terhadap pemain wanita bimbingannya, menjentik dunia sukan tanah air.

Ada yang menganggap tindakan itu keterlaluan malah ada juga yang menganggap tindakan itu sebagai kelaziman dan tidak perlu dibahaskan lagi.

Begitupun, bagi Kementerian Belia dan Sukan (KBS), kod etika yang seharusnya diamalkan di negara ini hendaklah menggunakan budaya sukan yang sihat.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, pihaknya amat sedar bahawa kes sebegitu bukan kes terpencil.

“Ada sukan menggunakan ganjaran wang sebagai motivasi dan dalam kes bola tampar, motivasi digunakan sebagai sebab untuk memukul.

“Saya rasa sama ada ganjaran wang tunai, ganjaran hadiah atau pukulan sebagai motivasi, ini semua adalah motivasi yang salah… kerana untuk atlet sukan, paling utama adalah masuk ke gelanggang, mereka berikan yang terbaik danapabila dia keluar dari gelanggang, ‘nobody can give you that kind of feeling of satisfaction that you have done the best’.

“Jadi, saya rasa kes seperti bola tampar ini bukan satu-satunya kes, not isolated,” kata Hannah, ketika diminta mengulas mengenai pendirian kementeriannya mengenai tindakan jurulatih yang videonya tular menampar dua pemain bola tampar wanita beberapa hari lalu.

Hannah Yeoh ketika menghadiri Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada Skuad Hoki Kebangsaan yang membawa cabaran ke Piala Dunia Hoki 2023 di Bhubaneswar-Rourkela, India.

Hannah berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada skuad hoki kebangsaan yang akan bertolak ke Bhubaneswar,India pada Jumaat untuk menghadapi saingan Piala Dunia 2023.

Menurut Hannah lagi, tidak perlu mana-mana pihak melakukan sesi perbincangan mengenai standard yang diperlukan dalam sistem kejurulatihan kerana semua pihak sudah menonton rakaman video terbabit, yang pasti perbuatan itu salah.

“Moving forward… saya telah minta KBS, ISN (Institut Sukan Negara)… sudah ada pelesenan untuk jurulatih dan kita akan bincangkan bersama Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk pastikan mereka menggunakan standard yang sama digunakan MSN (Majis Sukan Negara) di arena sukan yang dipraktiskan mereka,” kata Hannah lagi.

Pada 1 Januari lalu, dua pemain bola tampar wanita Bawah 14 tahun (B-14) Melaka, ditampar jurulatih ketika menghadapi Kejohanan Bola Tampar Remaja B-14 Tahun, ketika pasukan itu menentang Johor.

Namun pada semalam (Rabu)Njurulatih terbabit, Saiful Hadee Amar, membuat permohonan maaf secara terbuka dan menyatakan tiada niat untuk mendatangkan kecederaan kepada pemainnya.

“Saya tidak berniat untuk mengambil tindakan sehingga mendatangkan kecederaan.. tindakan saya adalah untuk menaikkan lagi semangat mereka, memotivasikan mereka dalam setiap perjuangan yang saya ada,” jelas jurulatih terbabit, yang dipetik daripada laporan Flash Sukan semalam.

ARTIKEL BERKAITAN:

Lempang Pemain B-14: Jurulatih bola tampar pasukan Melaka digantung, Mava siasat serta-merta!

Jurulatih bola tampar Melaka B-14 dikecam tampar dua atlet wanita

Lempang Pemain B-14: Malacca Volleyball Club pertahan jurulatih, rayu jangan hina gelaran botak dan gemuk

“Kementerian akan terus siasat jurulatih bola tampar walaupun memohon maaf” – Hannah Yeoh

Lempang Pemain B-14: “Saya mohon maaf…” -Jurulatih Bola Tampar