PEMAIN muda Manchester United, Amad Diallo, mengakui minggu ini adalah salah satu yang paling bermakna dalam hidupnya selepas mencipta hatrik pertama dalam kerjayanya bersama pasukan utama serta menandatangani kontrak baharu dengan kelab gergasi tersebut.

Pemain antarabangsa Ivory Coast itu menjaringkan tiga gol penting pada lewat permainan untuk membantu United mencatat kemenangan dramatik 3-1 ke atas Southampton di Old Trafford pada awal pagi Jumaat.

Kemenangan itu lebih bermakna buat pemain berusia 22 tahun itu yang baru sahaja melanjutkan kontraknya bersama Red Devils, minggu lalu.

Amad Diallo berjaya menjaringkan hatrik dalam masa 12 minit untuk membantu Manchester United menang ke atas Southampton

“Dalam bola sepak, anda perlu percaya, kami percaya hingga penghujung permainan dan sangat gembira dengan kemenangan ini.

“Kami sebelum ini seri dengan Arsenal dan Liverpool, jadi keyakinan itu sentiasa ada dan kami sangat gembira,” kata Amad yang dipetik daripada TNT Sports.

Ketika ditanya bagaimana perasaannya menilai minggu ini selepas berjaya mencipta hatrik pertama dan menandatangani kontrak baharu bersama United.

“Mungkin salah satu minggu terbaik dalam hidup saya kerana saya sangat gembira dengan kemenangan ini dan pasukan ini layak untuk menang, jadi saya sangat gembira,” luah Amad.

Amad kini muncul sebagai pemain penting di bawah kendalian ketua jurulatih baharu United, Ruben Amorim.

Setakat ini, Amad telah menjaringkan lima gol dan mencipta lima bantuan jaringan dalam 11 perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris, menjadikannya antara faktor utama yang memberikan sinar kepada pasukan United dalam musim yang sukar ini.

Selepas ini, Manchester United akan menerima kunjungan Brighton dalam aksi Liga Perdana Inggeris seterusnya pada Ahad.