PENGURUS Manchester United, Ruben Amorim, memuji Harry Maguire dan menyebutnya kembali sebagai ‘seorang pemimpin dalam pasukan.’
Maguire, yang direkrut dari Leicester City pada tahun 2019 dengan nilai perpindahan £80 juta, hanya memerlukan lima bulan sebelum dilantik sebagai kapten oleh pengurus ketika itu, Ole Gunnar Solskjaer.
Namun, pada Julai 2023, dia kehilangan lilitan kapten selepas Erik ten Hag mengambil alih tugas pengurusan. Langkah tersebut mencetuskan spekulasi bahawa Maguire akan meninggalkan Old Trafford.
Walaupun begitu, pemain berusia 31 tahun ini menolak tawaran daripada kelab lain. Sebaliknya, dia memilih untuk kekal dan berjaya kembali ke pasukan utama selepas skuad MU dilanda krisis kecederaan.
Selepas melalui tempoh sukar, Maguire kini menjadi salah satu pemain utama di bawah Ruben Amorim, yang mengambil alih jawatan pengurus pada Oktober 2024 selepas Ten Hag dipecat.
🚨🗣️ Amorim: "I think he [Maguire] sees himself differently. He believes in himself a lot. I think he should be congratulated and not me. He's doing a very good job. He has to keep going like that." #MUFC pic.twitter.com/NxLiayc8zL
— UtdTruthful (@Utdtruthful) January 15, 2025
Di bawah bekas pengurus Sporting itu, Maguire tampil konsisten dan diberi kepercayaan mengisi posisi utama dalam formasi tiga bek.
Dalam kemenangan Manchester United ke atas Arsenal dalam saingan Piala FA hujung minggu lalu, Maguire mempamerkan prestasi cemerlang walaupun sempat terlepas sesi latihan kerana sakit.
“Saya merasakan dia kembali menjadi seorang pemimpin. Dia merasakan dirinya lebih penting dalam pasukan. Dia memiliki keyakinan yang tinggi dan melakukan tugas yang luar biasa.
“Kita harus lebih banyak memuji Harry berbanding saya. Dia sedang sakit sebelum perlawanan terakhir dan benar-benar keletihan pada penghujung perlawanan. Itulah mentaliti yang saya harapkan daripada setiap pemain,” kata Amorim.