MANCHESTER United meraih tiga mata penting dalam saingan Liga Perdana Inggeris selepas menewaskan Fulham 1-0 pada awal pagi Isnin.
Namun, di sebalik kemenangan itu, drama di luar padang melibatkan Marcus Rashford dan pengendali pasukan, Ruben Amorim, terus menjadi perhatian.
Rashford, yang tidak beraksi selama enam minggu terakhir, tetap menunjukkan sokongan kepada rakan sepasukannya menerusi satu mesej ringkas di Instagram story miliknya.
“Tahniah atas kemenangan,” tulis pemain berusia 27 tahun itu disertai emoji tangan terangkat, meraikan kemenangan Red Devils di Craven Cottage.
Namun begitu, hubungan antara Rashford dan Amorim semakin tegang selepas jurulatih Manchester United itu sekali lagi mengeluarkan kenyataan sinis mengenai komitmen pemain England tersebut.
Memetik laporan media antarabangsa, Amorim menegaskan bahawa dia lebih rela memilih pemain lain yang lebih komited, seperti Jorge Vital, daripada menurunkan pemain yang tidak memberikan usaha maksimum.
“Saya lebih suka begitu, saya lebih rela menurunkan (Jorge) Vital daripada pemain yang tidak memberikan yang terbaik setiap hari.
“Jadi, saya tidak akan membuat sebarang perubahan dalam bahagian itu,” katanya selepas perlawanan
Sindiran terbaru ini menambahkan lagi spekulasi perpindahan Rashford menjelang tarikh akhir jendela perpindahan pada 3 Februari.
Rashford, yang telah mengabdikan seluruh kerjayanya bersama Manchester United, kini semakin hampir meninggalkan kelab yang pernah menjadi pentas kejayaannya.
Sementara Amorim dan skuadnya bersiap sedia untuk menghadapi FCSB dalam aksi Liga Europa pada Jumaat ini, Rashford pula dilaporkan giat mencari kelab baharu demi memulakan lembaran baharu dalam kerjayanya.
Soalnya kini, di manakah hala tuju seterusnya bagi bintang England ini?