KEDUDUKAN badang negara, Mohamad Aniq Kasdan dalam senarai kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024 semakin merosot, namun situasi itu menaikkan lagi semangatnya untuk melakukan angkatan lebih baik pada Piala Dunia Angkat Berat di Phuket, Thailand, bulan hadapan.

Berdasarkan kemaskini ranking kelayakan bagi kategori 61 kilogram (kg), Mohamad Aniq jatuh ke tangga ke-11 dari kedudukan ketujuh, namun peraturan angkat berat yang hanya membenarkan hanya satu atlet mewakili sebuah negara anggota dalam satu kategori, menyaksikan dia dalam posisi kelapan terbaik ketika ini.

Mohamad Aniq yang dalam pemburuan ke temasya Olimpik Paris berkata, ia adalah perkara biasa yang berlaku ketika ramai atlet bersaing untuk merebut tempat ke Olimpik.

Kemaskini ranking terkini kelayakan Paris 2024 bagi sukan angkat berat.

Katanya, dia masih optimis berhubung peluangnya ke Paris dan masih ada satu lagi kejohanan kelayakan terakhir iaitu di kejohanan Piala Dunia Angkat Berat di Phuket, Thailand dari 2 hingga 11 April ini.

“Kejatuhan ranking itu perkara biasa kerana semua atlet sedang berusaha keras untuk layak ke Paris. Ada yang naik ada yang turun.

“Saya tak gusar kerana peluang masih terbuka dan yang penting adalah kejohanan di Phuket nanti yang mana saya perlu menggunakan strategi tepat untuk memastikan kedudukan ranking saya tidak tergugat,” katanya.

Mohamad Aniq Kasdan dan Muhamad Aznil Bidin fokus kepada latihan seperti yang dijadualkan.

Aniq juga pemegang rekod kebangsaan dalam kategori 61kg dengan angkatan 296kg yang dilakukannya di Kejohanan Angkat Berat Dunia Grand Prix II Qatar, Disember lalu, meletakkan matlamat melakukan angkatan lebih tinggi di Thailand.

Berdasarkan kedudukan ranking atlet China Li Fabin sedang mendahului dengan jumlah angkatan 314kg diikuti rakan senegaranya, Chen Lijun (310), Massidda Sergio dari Itali (302kg) serta Irawan Eko Yuli dari Indonesia (300kg).

“Masa untuk ke Phuket dah suntuk. Tiada masa lagi untuk sesi latihan ringan. Latihan perlu mengikut apa yang sudah dijadualkan oleh jurulatih.

“Sama saja seperti latihan sebelum-sebelum ini,” katanya yang kini berlatih di bawah bimbingan bekas atlet kebangsaan, Edmund Yeo.