SELEPAS melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024, jaguh angkat berat, Mohamad Aniq Kasdan enggan sekadar menjadi pelengkap kejohanan.
Badang berusia 21 tahun itu, nekad mahu membulatkan usaha untuk tidak pulang dengan tangan kosong pada temasya yang bermulai Julai hadapan.
Katanya, tidak mustahil untuk membawa pulang sebutir pingat jika dia terus bekerja keras dalam baki tiga bulan sebelum temasya di Paris membuka tirainya dari 26 Julai hingga 11 Ogos hadapan.

Mohamad Aniq Kasdan ketika memenangi pingat emas Sukan Komanwel.
“Saya akan lakukan persiapan rapi menghadapi Olimpik kali ini. Saya akan berbincang dengan jurulatih mengenai program latihan saya selepas ini, apa yang saya perlu pertingkatkan lagi.
“Walaupun ini adalah kali pertama saya akan beraksi di Olimpik, saya menyasarkan untuk sekurang-kurangnya memenangi pingat. Saya akan cuba buat yang terbaik,” kata pemenang pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu.
Aniq mengesahkan tiket secara merit ke Olimpik Paris selepas berada di kedudukan kelapan ranking kelayakan dengan jumlah angkatan keseluruhan 296 kilogram (kg) dalam kategori 61kg.
Untuk rekod, kali terakhir angkat berat tersenarai dalam kontinjen negara ke temasya terbesar dunia itu, pada Temasya Rio 2016 dalam kategori 69kg menerusi Mohd Hafifi Mansor.

Mohamad Aniq Kasdan mahu disiplin mengikuti latihan diatur jurulatih.
Justeru, Aniq berkata, dia perlu mengangkat bebanan sekurang-kurangnnya 305kg bagi merealisasikan impiannya untuk membawa pulang pingat dari Paris.
Catatan terbaik 296kg yang dimiliki Aniq ketika ini sudah mengatasi rekod pemenang gangsa Olimpik Tokyo 2020 dari Kazakhstan, Igor Son yang melakukan angkatan 294kg.
“Saya perlu melakukan angkatan keseluruhan 305kg untuk menjadi pencabar pingat di Olimpik nanti.
“Tidak mudah tetapi saya percaya boleh melakukannya jika saya bekerja keras dalam latihan dan mengikut apa perancangan daripada jurulatih,” katanya.