
Apa faedah buat bola sepak negara apabila Hamidin sebagai Ahli Majlis Fifa?

KOMENTAR oleh MOHD FARIQ
BERUNTUNGNYA Datuk Hamidin Mohd Amin apabila terpilih untuk menganggotai Majlis Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa), iaitu jawatankuasa eksekutif tertinggi yang membuat dasar-dasar dan hala tuju bola sepak sedunia di saat badan induk dunia itu sudahpun pulih daripada kesan-kesan negatif gara-gara pandemik COVID-19.
Bahkan mengikut Fifa Forward 3.0, iaitu peruntukan Fifa bagi setiap 211 negara anggota bagi kitarannya yang ketiga, setiap daripada mereka akan menerima AS$5 juta bagi menampung kos operasi serta tambahan AS$3 juta lagi bagi projek khas yang menyumbang kepada objektif jangka masa panjang. Bermakna Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pimpinan Hamidin berpeluang mengumpul dana sebanyak RM32 juta sepanjang tempoh 2023-2026 bagi menjalankan aktivitinya.
Namun jumlah itu bukanlah memadai jika bola sepak Malaysia benar-benar mahu disuburkan di semua peringkat.
FAM tidak lagi dibebani dengan tanggungjawab mengendalikan liga. Operasi liga sudahpun diserahkan sepenuhnya kepada MFL.
Tetapi ruang lingkup bola sepak negara cukup besar kerana ia merangkumi pembangunan di peringkat akar umbi, membabitkan murid sekolah, pembangunan bola sepak negeri, termasuk daerah yang dinaungi persatuan bola sepak negeri, pembangunan pengadil serta tadbir urus 20 ahli gabungan FAM.
Tanggungjawab FAM paling besar ialah membangunkan pasukan kebangsaan pelbagai peringkat umur, secara spesifiknya skuad senior lelaki, skuad senior wanita, skuad Bawah 23 tahun lelaki, skuad lelaki Bawah 19 tahun, skuad lelaki Bawah 17 tahun selain skuad futsal lelaki dan wanita.
Pembangunan untuk setiap pasukan ini menelan belanja yang besar. Sumber-sumber rapat Flashsukan menyimpulkan bahawa FAM harus membelanjakan lebih RM20 juta setahun andai mahu memberi pendedahan dan pertandingan serta latihan kem antarabangsa untuk setiap pasukan negara.
Jadi, apakah faedah terus yang boleh dinikmati oleh FAM dan bola sepak Malaysia secara umumnya dengan adanya Hamidin dalam Majlis Fifa?
Majlis FIFA dianggotai 37 individu, termasuk presidennya, yang kini diisi oleh Gianni Infantino, seorang yang dianggap intim dengan Hamidin. Presiden setiap enam konfederasi yang mewakili Asia, Afrika, Eropah, Amerika Latin, Amerika Utara dan Oceania.
Majlis Fifa bersidang sekurang-kurangnya dua kali setahun dan antara skop tugasnya ialah menentukan tarikh, tuan rumah dan format kejohanan serta melantik perwakilan Fifa ke ILembaga Persatuan Bolasepak Antarabangsa (IFAB) yang merangka undang-undang permainan.
Bagi penggal 2019-2023, antara wakil konfederasi Eropah iaitu UEFA termasuk legenda Macedonia, Dejan Savicevic, yang kini menerajui persatuan negaranya, Presiden Persekutuan Bolasepak Perancis (FFF), Noel Le Graet, manakala Presiden Persekutuan Bolasepak Diraja Maghribi (FRMF), Fouzi Lekjaa antara wakil dari Afrika.

Hamidin (kanan) bersama Presiden Fifa, Gianni Infantino di Manama, Bahrain.
Ini membuka ruang kepada Hamidin untuk mengatur perlawanan atau kejohanan kompetitif dengan pasukan dengan ranking jauh lebih tinggi daripada Malaysia.
Dengan jawatan terbaharu ini, Hamidin mempunyai ruang untuk memujuk dan berunding dengan pihak-pihak yang berpengaruh bagi membawa dimensi baharu bukan sahaja dalam skuad negara tetapi juga membina keupayaan pentadbir atau pegawai bola sepak tempatan, pembangunan pengadil serta pendidikan dan perkembangan pakar-pakar teknikal.
Hamidin tidak boleh dikhayalkan dengan kerusi di puncak dunia. Rumput-rumput di padang lebih memerlukan ketokohannya.