PENGURUS Liverpool, Arne Slot, menyuarakan kekecewaannya selepas pasukannya hanya mampu mencatat keputusan seri 1-1 menentang Nottingham Forest dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris awal pagi Rabu.

Bercakap kepada BBC Sport, beliau mengakui sukar untuk mendapatkan kemenangan apabila ketinggalan 1-0 kepada pasukan yang kukuh bertahan seperti Nottingham Forest.

“Saya agak kecewa, walaupun apabila anda ketinggalan 1-0 kepada Nottingham Forest, mungkin sukar untuk mengharapkan kemenangan kerana mereka hampir tidak memberikan peluang dalam perlawanan-perlawanan terakhir yang mereka mainkan,” kata Slot.

Beliau turut memuji usaha dan komitmen pemainnya yang mencipta pelbagai peluang sepanjang separuh masa kedua perlawanan. Namun, kegagalan menyempurnakan peluang-peluang tersebut menjadi punca utama kekecewaan beliau.

“Itulah sebabnya saya tidak boleh meminta lebih daripada pemain-pemain kami. Mereka mencipta begitu banyak peluang pada separuh masa kedua, tetapi untuk tidak menjaringkan gol daripada semua peluang tersebut adalah sedikit mengecewakan, sudah tentu,” tambahnya.

Nottingham Forest, yang terkenal dengan kekuatan pertahanan mereka, sekali lagi menunjukkan keupayaan mereka untuk menyerap tekanan dan mengekalkan kelebihan satu gol hingga wisel penamat.

Sementara itu, The Reds terpaksa menerima keputusan yang mengecewakan walaupun mendominasi permainan dan mencipta banyak peluang berbahaya.

Keputusan seri buat kali kedua berturut-turut dalam saingan itu membuka peluang kepada Arsenal untuk merapatkan jurang di puncak kepada empat mata, apabila mereka menerima kunjungan Tottenham dalam pertembungan derby utara London awal pagi esok.