Pengurus Arsenal, Mikel Arteta menyifatkan sepakan penalti minit akhir Kai Havertz ketika menentang bekas kelabnya Bayer Leverkusen pada aksi pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara, awal pagi tadi sebagai kisah “luar biasa.”

Pemain gantian itu menyempurnakan penalti pada minit ke-89 untuk membantu Arsenal mengikat Leverkusen 1-1 pada aksi pertama menjelang perlawanan timbal balik di Stadium Emirates minggu depan.

Penyerang Jerman itu menghabiskan sedekad bersama Leverkusen sebelum berpindah ke kelab Liga Perdana Inggeris, Chelsea pada 2020, yang mana dia membantu pasukan itu menjuarai Liga Juara-Juara sebelum menyertai Arsenal pada 2023.

“Bola sepak sentiasa menghasilkan cerita yang gila,” kata Arteta kepada wartawan.

“Sudah tentu luar biasa apabila Kai kembali ke sini selepas bertahun-tahun dan menjaringkan penalti itu. Ia satu cerita yang hebat.”

Havertz yang dimasukkan dari bangku simpanan pada minit ke-74 menerima tepukan hangat penyokong sebelum tenang menyempurnakan penalti menewaskan penjaga gol Leverkusen, Janis Blaswich.

Pemain Jerman itu terlepas sebahagian besar musim ini susulan kecederaan lutut namun berkata tekanan situasi berkenaan tidak menjejaskannya walaupun terpaksa menunggu agak lama ketika keputusan disemak oleh VAR.

“Penalti pada minit akhir tidak selalu mudah. Masa antara wisel dan sepakan penalti terasa sangat lama. Tetapi dalam detik seperti ini anda perlu kekal fokus,” kata Havertz kepada wartawan.

“Inilah detik yang saya usahakan selama bertahun-tahun, untuk berada dalam situasi seperti itu.

“Saya mengenali stadium ini dan sudah banyak kali menjaringkan penalti dari tempat ini.

“Sudah tentu saya bersimpati dengan Leverkusen, tetapi itulah bola sepak.”

Kapten Leverkusen, Robert Andrich yang juga rakan sepasukan Havertz dalam skuad kebangsaan Jerman berkata dia sudah menjangkakan pemain itu akan menyempurnakan sepakan berkenaan.

“Ya, saya tahu. Kai memang sangat baik ketika mengambil penalti,” kata Andrich. – AFP