KETUMPULAN jentera serangan ketika berdepan India, menjadi fokus kepada ketua jurulatih A Arulselvaraj yang yakin, jika Malaysian Tigers mampu mengatasinya, peluang muncul juara Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2023 lebih cerah.
Tempoh rehat sehari, sebelum menghadapi perlawanan terakhir round robin menentang Korea Selatan itu, akan digunakan untuk bedah siasat kekalahan 5-0 kepada India.
Arul berkata, kini baru tiba masa yang sesuai untuk melakukan bedah siasat perlawanan itu, terutamanya selepas skuad negara mengesahkan tempat ke separuh akhir ACT dengan menewaskan Jepun 3-1.
“Esok (hari ini) rehat sehari kita akan gunakan untuk post-mortem perlawanan menentang India. Semalam (kelmarin) kita tinggalkan apa yang berlaku ketika menentang India kerana mahu pemain fokus kepada perlawanan menentang Jepun.
“Selain itu, kita juga akan membuat persiapan menghadapi perlawanan menentang Korea Selatan,” kata Arul.
Meskipun skuad negara dilihat cukup kuat berdepan setiap lawan menerusi kemenangan 3-1 ke atas Pakistan, China (5-1), dan Jepun (3-1), Malaysian Tigers terkulai layu tewas 0-5 kepada India, dan lebih menyedihkan, gagal menjaringkan sebarang gol.
Berbanding pasukan lain, semuanya berjaya membolosi gawang India yang berada di ranking keempat dunia itu, namun penyerang negara kelihatan terlalu “malu” untuk memasuki kotak D lawan.
China, pasukan paling rendah ranking iaitu ke-25 dunia, dua kali membolosi gawang India, Jepun di ranking ke-19 mengikat India 1-1, manakala Korea Selatan meledak dua gol ketika tewas 3-2 kepada pasukan tuan rumah.
Prestasi yang ditunjukkan ketika berdepan musuh tradisi itu amat membimbangkan, menjelang pertemuan dengan seteru utama, Korea esok, kerana kedua-dua pasukan saling mengenali, apatah lagi skuad bimbingan Arul berkelana menjalani latihan selama 10 hari di Korea, bulan lalu.
Kedudukan Korea di ranking kesembilan dunia dan Malaysian Tigers 10 dunia, menjadikan perlawanan terakhir round robin bakal lebih tegang.
Korea tentunya mahukan kemenangan bagi memastikan tempat ke separuh akhir sekali gus mengelak dipintas Jepun yang dijangka tiada masalah mengatasi China.
Begitupun, percaturan bagaimana akan diambil Arul, tiada siapa yang dapat menjangka memandangkan skuad negara sudah berada di separuh akhir.
Setakat ini, Firhan Ashari berada di kedudukan kedua senarai penjaring terbanyak dengan empat gol, kurang satu gol berbanding Harmanpreet Singh (India).
Namun, untuk bercita-cita menjuarai kejohanan, kita juga perlu melihat kepada statistik jaringan apabila India sudah meledak 16 gol dan 11 daripadanya pukulan sudut penalti.
Jumlah jaringan besar India itu dibantu kemenangan 7-2 ke atas China dan 5-0 ke atas skuad negara yang mengumpul 11 jaringan setakat ini.
Begitupun, Arul kelihatan yakin selepas anak didiknya mempamerkan prestasi memberangsangkan ketika menentang Jepun, “Satu perlawanan yang baik dari segi kawalan bola, ball positioning, ball movement juga lebih kemas berbanding semalam (menentang India).