AS ROMA berjaya menjuarai edisi sulung UEFA Europa Conference League (UECL) selepas menumbangkan Feyenoord 1-0 dalam aksi final musim 2021/22 yang berlangsung di Arena Kombetare, Tirana, lewat pagi Khamis.
Gol tunggal oleh Nicolo Zaniolo di pertengahan babak pertama sudah cukup untuk membawa Roma mengalahkan Feyenoord di final kali ini.
Ini merupakan trofi juara pertama Roma di bawah kendalian Jose Mourinho, sekaligus trofi juara pertama mereka sejak kejayaan di Coppa Italia musim 2007/08.
Bagi Mourinho, ini adalah trofi kelimanya di peringkat antara kelab Eropah. Uniknya, lelaki berusia 59 tahun itu memiliki rekod kemenangan 100 peratus kejohanan final benua biru.
Liga Europa 2003 yang waktu itu masih dinamakan Piala UEFA menjadi final perdana Mourinho di kancah Eropah. Ketika itu, dia berjaya membawa Porto muncul juara dengan mengalahkan Celtic 2-0.
Setahun berselang, Mourinho mencatat sejarah dengan membawa Porto menjadi juara Liga Juara-Juara. Prestasi tersebut diulangi lagi bersama Inter Milan pada 2010.
Mourinho kemudian kembali berjaya di Eropah untuk kali ketiganya, tetapi kali ini di saingan Liga Europa membawa Manchester United meraihnya pada 2017.
Jadi, kemenangan trofi UECL ini membolehkan nama Mourinho tercatat menjadi jurulatih kedua yang meraih lima trofi di kejohanan antara kelab Eropah.
Individu pertama yang berjaya melakukannya adalah jurulatih legenda Itali, Giovanni Trapattoni. Menariknya, kelima-lima trofi Eropah yang diraih Trapattoni ketika bersama Juventus.
Koleksi gelaran Eropah Trapattoni adalah satu trofi Piala Juara-Juara, Piala Winners, dan Piala Super Eropah, serta dua gelaran Piala UEFA.