MAJLIS Olimpik Asia (OCA) mewajibkan semua atlet yang mengambil bahagian di Sukan Asia 2022, di Hangzhou, China, September depan, menduduki kursus atas talian bersama Anti Doping Education and Learning (ADEL).

Pengarah Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) Azura Abidin berkata, OCA akan mengeluarkan sijil kepada atlet yang menyertai kursus terbabit sebelum ke temasya berprestij itu.

Beliau berkata, kursus terbabit menjadi syarat wajib ditetapkan OCA dalam usaha menyedarkan atlet terhadap tanggungjawab ke atas diri sendiri selain mahu temasya itu bebas daripada skandal doping.

“Kemudian Adamas diminta untuk update data-data ini kepada pihak sekretariat di OCA supaya mereka tahu atlet yang dah nak pergi ke Sukan Asia telah proses kursus ini.

“Sekarang telah mula (kursus) ini, Adamas bersama MSN (Majlis Sukan Negara) dan ISN (Institut Sukan Negara) dan bekerjasama dan kita pastikan mereka terima sijil sebelum mereka bertolak,“ katanya, dalam sidang media selepas Majlis Menandatangani Akuan Sokongan Kod Sukan Selamat Kementerian Belia dan Sukan bersama Adamas, Pegawai Kawalan Doping (DCO) dan Pendidik Anti Doping (Educator) di Menara KBS, Putrajaya.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyaksikan pegawai Adamas menandatangani Akuan Sokongan Kod Sukan Selamat.

Dalam pada itu, Azura berkata Adamas telah menerima senarai awal nama atlet yang dijangka ke temasya empat tahun sekali itu, dan akan bersama Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam memastikan semua atlet mejalani kursus terbabit.

Sukan Asia 2023 di Hangzhou akan membuka tirainya bermula 23 September hingga 8 Oktober depan, namun senarai akhir atlet negara yang akan membawa cabaran di temasya itu, hanya akan diputuskan pada 15 Julai ini.