SUKAN yang mencapai kecemerlangan dengan memenangi pingat di Temasya Sukan Asia Hangzhou, akan diberi perhatian khusus bagi memastikan pencapaian atletnya terus konsisten di persada antarabangsa.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, pencapaian beberapa sukan yang menonjol seperti terjun, skuasy, pelayaran, berbasikal, equestrian serta mana-mana atlet yang berjaya akan dikaji keperluan bantuan tambahan sebaik berakhir temasya.
“Kita kena tengok kewangan dahulu, bagaimana dapat membantu atlet mencapai pencapaian konsisten, kita tak mahu menang sekali… selepas itu gagal,” kata Hannah, yang tiba di Hangzhou malam tadi dan segera bergegas ke gelanggang skuasy, yang menyaksikan dua pingat emas dan satu perak di tuai semalam.
Menurutnya, pemenang pingat di Hangzhou juga akan dipertimbangkan kemasukan ke dalam program Road to Gold (RTG), biarpun sukan terbabit tidak tersenarai dalam acara Olimpik, dalam usaha memperkasa lagi prestasi atlet.
“Seterusnya Olimpik, kita nak tengok bagaimana pemenang pingat di sini boleh dimasukkan ke dalam RTG, tidak semestinya sukan itu dipertandingkan di Olimpik.
“Tujuan kita nak memasukkan atlet yang menang pingat ke dalam RTG adalah untuk memperkasa pencapaian mereka, mungkin dengan keperluan latihan di luar negara kerana kita lihat, negara-negara lain juga menunjukkan peningkatan,” katanya.
Ketika diminta mengulas mengenai desas desus beliau bakal ditukar portfolio kementerian pada rombakan kabinet, Hannah enggan mengulas lanjut dan mahu fokus kepada perjuangan atlet di Hangzhou.
Sehingga semalam, kontinjen negara melepasi sasaran 27 pingat, apabila meraih lima pingat emas, enam perak dan 17 gangsa, iaitu 28 pingat secara keseluruhannya.
Setakat ini, skuasy paling cemerlang dengan tiga emas, satu perak dan satu gangsa, diikuti terjun (1 perak, 4 gangsa), berbasikal trek (empat gangsa), olahraga (tiga gangsa), pelayaran (satu emas dan dua gangsa), e-Sukan (satu perak, satu gangsa), equestrian (satu emas) dan wushu (satu perak).