PELARI pecut sensasi negara, Muhammad Azeem Fahmi akan memulakan pengajian dan latihan di Alabama, Amerika Syarikat Januari 2023 dan sudah menetapkan sasaran untuk menjadi pelari Malaysia pertama berlari di bawah 10 saat dan layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Azeem juga menyatakan dia tidak berdepan masalah untuk menyesuaikan diri dengan corak latihan di sana kerana jurulatih di sana sudah memantau sesi latihannya di Malaysia dan ianya sama seperti yang dilakukannya.

Dia yang menyambung pengajian selama empat tahun di Universiti Auburn dibawah biasiswa atlet universiti itu akan melakukan yang terbaik untuk mencapai sasaran yang ditetapkan dan berharap dapat mencapainya dalam keadaan yang baik.

“Secara keseluruhan, tahun 2022 adalah tahun yang sangat saya syukuri dan kini tidak sabar untuk beraksi pada tahun 2023 dengan fokus utama kepada prestasi saya untuk cuba menjadi pelari Malaysia pertama berlari di bawah 10 saat dan layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.

“Sebelum saya kesana saya sudah berhubung dengan jurulatih di sana dan saya dipantau sepanjang dua bulan. Mereka tahu apa yang saya boleh lakukan apabila saya tiba di sana dan tiada masalah untuk saya sesuaikan diri dengan corak latihan di sana kerana ianya sama dengan corak di sini.

“Saya akan berlepas pada 1 Januari 2023 dan kelas akan bermula pada 11 Januari jadi sempat untuk saya sesuaikan diri. Jadual latihan dan pembelajaran juga seimbang dan berharap tidak menjadi masalah buat saya di sana.

“Empat tahun bukan lama dan saya mahu layak ke World Championship dan layak secara automatik ke Paris 2024 dengan sasaran untuk berlari di bawah 10 saat dan saya akan cuba yang terbaik dengan masa terbaik saya kini hanya 0.09 saat berbeza dengan masa kelayakan 10.00 saat dan saya hanya akan fokus pada perkara ini,” katanya ketika ditemui dalam satu majlis di ibu negara pada Rabu.

Ditanya adakah dia akan merasa tekanan kerana menjadi atlet yang diberikan perhatian oleh rakyat Malaysia, Azeem berkata tujuan utama dia berhijrah adalah untuk memastikan perkara ini tidak berlaku dan menggangu fokus latihannya.

“Ramai tidak kenal saya di sana dan inilah sebab utama saya berhijrah. Tanpa gangguan untuk latihan dan belajar, saya berjalan orang tidak kenal dan lebih mudah buat saya untuk fokus dan berharap tidak mengalami kecederaan.

ARTIKEL BERKAITAN: “Azeem ambil jurusan Fisiologi Senaman dan Kinesiologi” – Fahmi Tajuid

“Pihak universiti juga berjanji untuk menjaga kebajikan saya dan ada tempoh cuti untuk pulang ke Malaysia selama sebulan. Ibu bapa saya banyak berpesan untuk menjaga diri dan saya harap tidak ada masalah di sana.

“Masalah ‘homesick ini semuanya bergantung pada atlet itu sendiri. Saya hanya fokus pada ‘winning mentality’ dan saya berharap untuk mendapat keputusan yang baik selepas melakukan pengorbanan ini. Semua halangan kecil ini tidak akan menggangu keinginan saya untuk menjadi juara,” tambahnya.

Azeem adalah pemegang rekod kebangsaan bagi acara 100 meter lelaki dengan catatan masa 10.09 saat yang dilakukan di Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Cali, Colombia Ogos lalu.