SELEPAS menamatkan musim 2023 dengan kekalahan awal dalam kempen Jelajah Dunia Akhir Disember lalu, pemain harapan Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting enggan terlalu memikirkan gelaran dalam setiap kejohanan disertainya.

Bagi mengekang tekanan daripada membebani dirinya, pemain berusia 28 tahun itu, hanya mahu fokus kepada menggilap permainan dan mempertahankan kedudukannya dalam perlumbaan ke Olimpik Paris.

“Sekarang saya cukup puas dengan perjalanan, hanya beberapa bulan sahaja akan berlangsung Sukan Olimpik, tumpuan saya perbaiki permainan.

“Tak mahu fikirkan gelaran, tak mahu bebankan diri dengan hasrat mahu menjadi juara, sasaran utama di Olimpik,” kata Ginting, ditemui pada Terbuka Malaysia 2023.

Pemain yang berada di ranking keempat dunia itu, melepasi ujian pertama dengan mudah semalam, apabila membenam cabaran pemain Taiwan, Su Li Yang 21-18, 21-12, dilihat agak goyah pada set pertama sebelum mempamerkan aksi solid pada set kedua.

Meskipun keputusan di Jelajah Dunia Akhir tidak menyebelahinya, namun pengalaman di Hangzhou itu, memberi keyakinan kepada dirinya dan memastikan ‘feeling’ pertandingan yang berterusan hingga ke hari ini.

“Saya harap feeling pertandingan yang ada ini berterusan sehingga ke Olimpik, setiap pertandingan yang saya sertai, akan sentiasa buat penilaian dan saya mahu menajamkan kelebihan dan perbaiki kekurangan.”

Dalam masa sama, Ginting memberi bayangan mahu mengekalkan kedudukan rankingnya ketika ini hingga ke Paris 2024.

“Di Olimpik nanti, jika tampil sebagai pemain pilihan sudah tentu sangat baik untuk saya kerana akan memberi kelebihan dari segi undian, tetapi untuk mencapai tahap itu sudah tentunya saya perlu memanfaatkan mata sebanyak mungkin pada kejohanan dalam tempoh kelayakan,” ujar Ginting lagi.

Pada pusingan kedua Terbuka Malaysia esok, Ginting akan berdepan Lu Guang Zu dari China.