PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) bersedia membuka buku kontrak, gaji dan kos perbelanjaan pemain sebagai langkah berani ke arah ketelusan penuh demi meraih keyakinan penaja serta rakyat.
Presidennya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, menegaskan polisi itu akan dibentangkan dalam Mesyuarat Ahli Majlis BAM, esok dengan keutamaan mengimbangi kos pemain elit dan pembangunan jangka panjang.
“Saya mahu lebih telus, kita akan maklumkan berapa gaji dan berapa kos setiap pemain supaya penaja dan rakyat tahu,” katanya, ketika hadir ke Axiata Arena pada kempen Terbuka Malaysia 2026.

Zafrul mengakui pendekatan itu memberi tekanan kepada atlet, namun menegaskan ia sudah menjadi amalan biasa di peringkat global.
Mengulas isu kontrak, beliau menepis spekulasi dengan mengesahkan semua pemain utama termasuk juara dunia beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei sudah diikat kontrak sehingga Olimpik Los Angeles 2028.
“Kalau semua pemain bintang minta gaji tinggi, ia tidak mampan kecuali kita ada pembiayaan tambahan,” katanya, sambil mendedahkan kos pengurusan BAM mencecah puluhan juta ringgit setahun.
Sehubungan itu, BAM akan mengimbangi semula bajet dengan menyalurkan lebih banyak dana kepada pembangunan pemain pelapis, selari minat penaja terhadap program jangka panjang.
Mengulas prestasi Terbuka Malaysia, Zafrul menyifatkan penyingkiran awal Pearly Tan-M Thinaah mengecewakan, namun optimis dengan aksi beregu muda sambil menegaskan keperluan memilih kejohanan secara lebih selektif.