MENJELANG Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) di Qingdao, China, dari 11 hingga 16 Februari depan, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mencari formula terbaik mempersiap pasukan.
Pengarah Pentadbiran BAM, Michelle Chai berkata, pihaknya kali ini mahu lebih terbuka memenuhi keperluan pemain profesional, termasuk jadual peribadi, asalkan komitmen terhadap kejohanan ini terjamin.
“Fokus utama kami adalah membina pasukan terbaik untuk mencapai matlamat kejohanan di Qingdao. Senarai pemain pilihan jurulatih telah mendapat kelulusan Jawatankuasa Prestasi BAM dan akan diumumkan secara rasmi pada Khamis ini,” kata.

Lee Zii Jia masih kekal pemain perseorangan lelaki nombor 1 negara ketika ini.
Begitupun, Michelle menegaskan syarat dan terma rasmi, membabitkan penggunaan pakaian jenama Yonex, tetap perlu dipatuhi semua pemain yang mewakili negara.
“Setiap pemain sudah maklum mengenai perkara ini. Siapa sahaja yang beraksi mesti mematuhi syarat yang ditetapkan,” kata Michelle.
Pada tahun lalu, BAM dipalit kontroversi apabila terpaksa memberi pampasan hak imej kepada pemain perseorangan profesional, Lee Zii Jia, bagi membolehkannya menyarung jersi skuad kebangsaan di Piala Thomas.
Begitupun,insiden itu diselesaikan menerusi penyelesaian menang-menang kerana kedua-dua pihak terikat dengan kewajipan berbeza terhadap penaja masing-masing.
Mengambil pengajaran daripada peristiwa itu, BAM berusaha memastikan hubungan harmoni antara badan induk dan pemain profesional demi kepentingan negara.