Raphinha menjaringkan dua gol ketika Barcelona melangkah ke final Piala Super Sepanyol dengan kemenangan selesa 5-0 ke atas Athletic Bilbao, awal pagi tadi.

Juara bertahan dan pemegang rekod 15 kali juara itu akan menentang sama ada Real Madrid atau Atletico Madrid, yang bertemu awal pagi esok, pada perlawanan akhir Ahad ini.

Pengendali Hansi Flick memulakan perlawanan dengan bintang remaja Lamine Yamal di bangku simpanan, namun pasukannya masih mudah mencatat kemenangan di Stadium King Abdullah Sports City, Jeddah.

Pendahulu La Liga itu kini mencatat sembilan kemenangan berturut-turut dalam semua pertandingan, manakala Athletic, yang melalui musim sukar ditewaskan dengan teruk.

Musim lalu, Barca memenangi La Liga dan Copa del Rey selepas pasukan Flick memenangi Piala Super Sepanyol sebagai trofi pertama pengurus Jerman itu dan beliau berkata mahu menggunakan pertandingan itu sebagai lonjakan untuk kejayaan seterusnya.

“Kami sendiri yang jadikan perlawanan mudah atau sukar – bila kami bermain baik, buat perkara betul, pertahankan dengan baik, serang dengan baik, perlawanan jadi lebih mudah,” kata Raphinha kepada Movistar.

Penyerang Brazil itu mempamerkan prestasi cemerlang sejak kembali daripada kecederaan hamstring yang menyaksikannya berehat kira-kira dua bulan.

“Saya sentiasa mahu berada di tahap terbaik dan saya tidak akan pernah kata saya sudah berada di tahap terbaik,” tegas Raphinha.

Ferran Torres membuka tirai jaringan pada minit ke-22 hasil sedikit tuah selepas sepakan Fermin Lopez tersasar tetapi bola jatuh di sisinya.

Barca menambah gol kedua apabila Raphinha mengumpan kepada Lopez yang melepaskan rembatan padu ke penjuru atas, satu daripada tiga gol dalam tempoh lapan minit.

Pemain sayap Sweden, Roony Bardghji, menjaringkan gol ketiga selepas penjaga gol Athletic, Unai Simon gagal menyelamatkan rembatan leret rendah melepasi bawah badannya.

Raphinha menambah gol keempat dengan rembatan padu ke penjuru kiri atas pada minit ke-38 ketika Barca menyerang tanpa henti.

Penyerang Brazil itu kemudian menjaringkan gol kedua selepas babak kedua bermula dengan penyudah berdekatan gol untuk melengkapkan kemenangan Barcelona. – AFP