BEKAS jurulatih Thailand, Mano Polking secara terbuka menyatakan hasratnya untuk menjadi jurulatih pasukan kebangsaan Vietnam yang baru sahaja berpisah dengan Philippe Troussier.

Polking kini tidak menyertai mana-mana pasukan selepas dipecat oleh Persekutuan Bola Sepak Thailand sebagai jurulatih pasukan Gajah Putih pada November 2023.

“Saya masih mencari pekerjaan baharu dan berunding dengan beberapa kelab. Tetapi sudah tentu semua jurulatih di Asia Tenggara mahu menguruskan pasukan kebangsaan Vietnam.

“Saya mahu bekerja di mana-mana, tetapi jelas menjadi jurulatih pasukan kebangsaan adalah jawatan yang sangat berprestij untuk semua jurulatih,” kata Polking, dipetik VNExpress.

Image

Polking dipecat FA Thailand pada November tahun lepas.

Polking mengakui bahawa dia telah memberi perhatian kepada prestasi pasukan kebangsaan Vietnam, kedua-dua pasukan senior dan B-23, dan menganggap mereka sebagai pasukan yang bagus.

“Saya menyaksikan semua perlawanan Vietnam baru-baru ini dan saya percaya pasukan ini masih mempunyai pemain yang bagus.

“Pasukan kebangsaan Vietnam B-23 juga bagus, dan ini bagus untuk masa depan. Tetapi saya tidak mahu mengulas mengenai kerja jurulatih terkenal seperti Troussier kerana sudah tentu dia memahami bola sepak,” jelas pengendali kelahiran Brazil itu.

Vietnam segera memecat Troussier selepas Do Hung Dung dan rakan-rakannya dikalahkan oleh pasukan Indonesia dengan jaringan besar di Stadium My Dinh, Hanoi, pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026.

Sementara itu, Polking tidak asing lagi dengan bola sepak Asia Tenggara kerana pernah menjadi jurulatih di peringkat pasukan kebangsaan dan beberapa kelab Thailand. Polking juga telah melatih pasukan Ho Chi Minh City dari Vietnam.

Dengan mengetahui bola sepak Asia Tenggara, sekurang-kurangnya Polking mempunyai nilai tambah kerana VFF menekankan bahawa salah satu syarat untuk menjadi jurulatih Golden Star Warriors adalah pemahaman budaya.