DUNIA bola sepak tempatan dikejutkan dengan berita tragik apabila bekas penjaga gol Kelantan yang terlibat dalam kes tembakan maut terhadap rakyat Malaysia di Sungai Golok, Thailand, dilaporkan telah menyerahkan diri kepada pihak polis di sana.

Menurut laporan dari Utusan, jurucakap Balai Polis Sungai Golok menyatakan suspek yang juga bekas pemain bola sepak itu hadir ke balai berkenaan malam tadi sambil menyerahkan sepucuk pistol dipercayai digunakan dalam insiden berdarah tersebut.

Kejadian ngeri itu berlaku di Kampung Bering, Sungai Golok, apabila mangsa, Mohd. Fuad Fahmie Ghazali, 33, yang juga bekas penjaga gol Kelantan, ditembak bertubi-tubi ketika sedang memasang kamera litar tertutup (CCTV) di halaman rumahnya. Difahamkan, dua lelaki yang dikenali mangsa datang dari arah belakang sebelum melepaskan tembakan tanpa amaran.

Menurut isterinya, Wan Fatihah Mat Hussin, 35, yang sarat mengandung, beliau hanya mampu menjerit dan mendakap suami tercinta yang rebah berlumuran darah selepas ditembak sebanyak 18 das. Mohd. Fuad kemudian disahkan meninggal dunia di Hospital Sungai Golok sekitar jam 9 malam waktu tempatan.

Tragedi ini bukan sahaja meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga mangsa, tetapi turut mengundang rasa sedih dan terkejut dalam kalangan peminat bola sepak tempatan yang masih mengenang sumbangan Allahyarham semasa bersama pasukan Kelantan suatu ketika dahulu.