BEKAS pemain Arsenal, Héctor Bellerín yang kini bermain untuk Real Betis, menarik perhatian selepas memenangi Anugerah Sukan Hijau BBC semalam kerana usahanya mempromosikan gaya hidup mesra alam, termasuk berbasikal ke tempat latihan dan menolak kemewahan yang sering dikaitkan dengan pemain bola sepak profesional.
Walaupun tempat letak kereta di kelab bola sepak besar di Eropah biasanya dipenuhi kereta mewah, Bellerín memilih untuk berbasikal atau menaiki pengangkutan awam kerana mahu hidup sederhana dan memberi contoh tentang pentingnya menjaga alam sekitar.
“Lebih mudah untuk naik teksi. Saya tahu saya berkemampuan, tetapi kita perlukan bandar yang lebih hijau, dengan kurang kenderaan.”
Bellerín bukan seperti kebanyakan pemain bola sepak lain kerana dia menggunakan media sosialnya untuk menunjukkan kesan perubahan iklim terhadap sukan dan mengajak pengikutnya menjadi pengguna yang lebih beretika.
“Saya rasa dengan kuasa datang tanggungjawab. Setiap kali seseorang meletakkan mikrofon di hadapan saya, itu peluang untuk bercakap tentang isu penting dan mencetuskan perbincangan.”
Dilahirkan berhampiran Barcelona, minatnya terhadap alam sekitar bermula sejak kecil dan kini gaya hidupnya sepadan dengan nilai itu kerana dia seorang vegan dan lebih suka membeli pakaian terpakai.
“Memberi kehidupan yang baik kepada setiap benda yang kita guna, dan selepas itu memberinya peluang hidup semula, kerana kita sentiasa dibanjiri iklan yang mencipta rasa keperluan yang palsu,” katanya.
Bellerín menyertai akademi Arsenal ketika berusia 16 tahun di bawah bimbingan Arsene Wenger yang banyak mengajarnya tentang nilai hidup yang baik dan cara berfikir secara menyeluruh.
“Saya banyak belajar daripadanya — bukan tentang kemampanan secara khusus, kerana saya rasa perkataan itu sekarang membawa maksud yang sangat jelas, tetapi lebih kepada cara hidup yang menyeluruh, dan saya rasa kemampanan termasuk dalam hal itu.”
Walaupun pandangannya kadang-kadang berbeza dengan pemain lain dalam dunia bola sepak yang jarang dikaitkan dengan aktivisme alam sekitar, dia lebih suka berbincang dengan jujur daripada menghakimi.
“Saya seseorang yang membawa sesuatu yang berbeza ke meja perbincangan. Kami berdebat, kadang-kadang saya marah.”
“Tapi mereka menghormati saya, mereka mendengar. Saya juga belajar daripada mereka. Walaupun orang lain berfikir dengan cara yang sangat berbeza daripada saya, perkara ini membantu saya melihat dunia dengan cara baharu,” katanya.
Bellerín berkata menyertai Real Betis adalah pilihan yang sesuai kerana kelab itu melalui Yayasan Forever Green aktif mempromosikan projek mesra alam seperti jersi yang diperbuat daripada alga, pulpa kayu dan plastik kitar semula, serta tempat duduk stadium yang dibuat daripada jaring nelayan lama.
“Betis bukan sekadar kelab bola sepak. Ia ruang di mana orang boleh berkembang, mendapat sokongan dan merasai makna menjadi sebahagian daripada sesuatu yang lebih besar. Menjadi sebahagian daripada itu amat bermakna bagi saya.”