PEMAIN Real Madrid, Jude Bellingham, berdepan kemungkinan digantung sehingga 12 perlawanan susulan dakwaan menghina pengadil dalam satu perlawanan baru-baru ini.
Insiden tersebut berlaku ketika Madrid seri 1-1 menentang Osasuna dalam aksi La Liga hujung minggu lalu. Bintang England itu dilayangkan kad merah oleh pengadil, Jose Munuera, yang mendakwa Bellingham telah mengeluarkan kata-kata kesat “f… you” kepadanya.
Selepas perlawanan, Bellingham tampil memberi penjelasan dengan menegaskan bahawa ungkapan yang disebutnya ialah “f… off” dan ditujukan kepada dirinya sendiri sebagai tanda kekecewaan, bukan kepada pengadil.
Jurulatih Madrid, Carlo Ancelotti, turut mempertahankan anak buahnya dengan menyatakan bahawa pengadil telah salah tafsir kenyataan yang dibuat oleh Bellingham.
‘It’s a f*cking goal.’ ‘F*ck off.’
Jude Bellingham’s only career red cards are for something referee’s are told every game. 😂 pic.twitter.com/6VV9e9mXpU
— TC (@totalcristiano) February 15, 2025
Menurut laporan Daily Mail, pihak Madrid kini menunggu keputusan rasmi dengan harapan kad merah Bellingham dapat dibatalkan. Jika tidak, pemain tengah berbakat itu berkemungkinan terpaksa menjalani penggantungan sehingga 12 perlawanan.
Berdasarkan Kod Disiplin RFEF, mana-mana pemain yang didapati bersalah kerana menghina, mengeluarkan kata-kata tidak sopan, atau bercakap secara ofensif kepada pengadil utama, pembantu pengadil, atau pegawai perlawanan lain boleh dikenakan penggantungan antara empat hingga 12 perlawanan.
Jika hukuman minimum empat perlawanan dikenakan, Bellingham akan terlepas aksi La Liga menentang Girona, Real Betis, Rayo Vallecano, serta perlawanan separuh akhir pertama Copa del Rey menentang Real Sociedad.
Namun, jika hukuman maksimum 12 perlawanan dikenakan, bekas pemain Borussia Dortmund itu bakal terlepas sebahagian besar baki perlawanan Madrid musim ini.