TUJUH bulan sahaja lagi Sukan Olimpik Paris akan membuka tirai saingan dan sepanjang tempoh itu, semnua atlet baik yang sudah melayakkan diri ke temasya mahupun masih memburu slot, digesa menampilkan prestasi terbaik pada setiap kejohanan yang disertai.
Ketua kontinjen negara ke Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, barisan atlet seharusnya memberi tumpuan penuh kepada kejohanan kelayakan yang bakal disertai selain memperbaiki prestasi diri dalam sukan diceburi.

Bertrand Roddict Anak Lises antara atlet negara terawal layak ka Paris 2024. -Pix Agensi
Ketika ini empat atlet negara sudah melayakkan diri ke Paris iaitu pemanah recurve negara, Ariana Nur Dania Zairi; Bertrand Rhodict Lises (terjun); Nur Shazrin Latif (pelayaran) dan Johnathan Wong dari sukan menembak.
Menurutnya, tahun 2024 menjadi tahun yang sibuk dan penting kerana lebih ramai atlet negara daripada sukan prospek, seperti badminton dan berbasikal akan mengesahkan slot ke temasya sukan terbesar dunia itu.

Nur Shazrin Mohamad Latif dari sukan layar, sumbang pingat emas pertama buat kontinjen negara di Sukan Asia Hangzhou, China September lalu, turut meraih slot ke Olimpik di temasya itu.
“Kelayakan Olimpik masih berjalan sehingga Mei tahun depan… saya harap mereka fokus untuk layak selain memperbaiki prestasi, perbaiki rekod dalam sukan masing-masing.
“Saya yakin akan ada sukan lain yang akan layak kerana kalau dilihat, jenis sukan ini ada yang berperingkat (kejohanan kelayakan) seperti badminton pada April dan itu adalah tarikh akhir mereka (layak). Jadi saya kira, akan ada lagi banyak sukan layak ke Paris,” kata Hamidin.
Dalam pada itu, Hamidin berkata, sebahagian besar atlet memahami program Road To Gold (RTG) yang visi utamanya membantu Malaysia mencapai pingat emas pertama diidamkan sejak sekian lama.

Datuk Azizulhasni Awang, Mohamad Shah Firdaus Sahrom antara atlet berbasikal yang akan mengesahkan tempat ke Olimpik Paris 2024.
“Pada mana-mana sukan yang sudah layak, kita memang ada berjumpa atlet untuk melihat apa kekurangan yang perlu diperbaiki dan nilai tambah buat mereka. Bukan sahaja RTG tetapi atlet lain juga.
“Sebagai ketua kontinjen, saya melihat sebahagian besar atlet memahami misi RTG ini iaitu untuk mencapai impian satu pingat emas sekurang-kurangnya daripada Malaysia kerana Malaysia tidak pernah dapat.

Aaron Chia-Soh Wooi Yik, menjadi pemain badminton negara yang berada di posisi terbaik untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024, kini di ranking keempat dunia.
“Ketika ini masih ada sukan yang belum layak, seperti badminton, basikal atau yang lain-lain, sedang memberi tumpuan untuk layak dahulu dan mereka memahami misi RTG ini untuk meraih emas.
“Biar kita layak dahulu ke Paris dan dalam beberapa bulan lagi, (atlet) akan lebih fokus kepada misi memburu emas,” tambah Hamidin.