BEKAS pemain bola sepak legenda Singapura, Fandi Ahmad menyambut hari lahirnya yang ke-60 tahun hari ini dan masih kelihatan penuh bermotivasi untuk meneruskan kariernya sebagai jurulatih.

Nama Fandi sememangnya sudah sinonim bukan sahaja di negaranya, tetapi juga di Liga Malaysia yang pernah mengangkat namanya satu ketika dulu ketika bersama pasukan Kuala Lumpur FA (1986-1989) serta Pahang FA (1991-92).

Bagi Fandi, umur hanyalah sekadar nombor. Dalam jiwanya semangat untuk melibatkan diri dalam bola sepak sebagai jurulatih tidak pernah padam.

“Tuhan memberi saya bakat untuk bola sepak, saya ada minat dalam kejurulatihan dan saya akan teruskan.

“Ramai jurulatih seluruh dunia yang sebaya dengan saya. Mungkin selepas ini saya boleh melatih pasukan di Malaysia, Thailand atau mana-mana yang bersesuaian.

“Namun buat masa sekarang saya ingin berehat seketika bersama keluarga sebelum kembali meneruskan tugas sebagai jurulatih,” jelannya pada sidang media selepas Pelancaran Buku Bibliografi- Fandi: Honour & Sacrifice’ yang ditulis oleh Durga Poonambalam pada Ahad.

Fandi sebelum ini menolak tawaran daripada salah sebuah kelab dari Indonesia selepas kontrak bersama pasukan remaja Singapura akan berakhir bulan depan.

Sementara itu, dalam buku tersebut, Fandi turut berkongsi pengalaman awal bergelar pemain sepak, motivasi dan semangatnya terhadap bola sepak.

“Saya tidak mahu gaya hidup dalam bola sepak, tetapi saya mahu kehidupan dalam bola sepak,” ujarnya dalam buku Fandi: Honour & Sacrifice’.