DALAM keadaan prestasinya belum mencapai tahap terbaik, Bergson Da Silva tetap kekal sebagai penggempur paling berbisa di Liga Super itulah pandangan jujur daripada legenda Harimau Malaya era 80-an, Azlan Johar.

Menurut laporan yang dipetik Kosmo!, Azlan percaya kelebihan besar buat penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu adalah kerana dia berada dalam sistem kelab yang serba lengkap dan profesional.

Faktor itulah yang banyak membantu Bergson mengekalkan rentak konsisten dalam saingan domestik.

Bergson bangga bergandingan dengan pemain-pemain muda JDT.(JST)

“Bergson sangat bertuah dapat bermain dengan kelab seperti JDT.

“Dia semakin bagus kerana dijaga dengan teliti, sama ada dari segi fizikal, taktikal mahupun mental,” jelas Azlan.

Walaupun segelintir pihak mempertikaikan sumbangan Bergson yang kononnya hanya ‘garang’ ketika bertemu pasukan lebih lemah, Azlan menegaskan bahawa statistik tidak boleh menipu.

Kualiti dan ketajaman penyudah pemain import dari Brazil itu sukar dinafikan.

Bergson cemerlang dengan mengumpul 31 gol keseluruhan dalam Liga Super setakat ini. (JST)

Cuma, satu kekurangan yang dibangkitkan Azlan ialah Bergson masih belum benar-benar diuji di pentas antarabangsa, di mana tekanan dan intensiti perlawanan jauh lebih tinggi berbanding Liga Super.

Setakat ini, penyerang berusia 33 tahun itu sudah mencipta rekod baharu Liga Super dengan 31 gol dalam satu musim, selain menghampiri rekod jaringan sepanjang zaman.

Bergson kini sudah mengumpul 104 gol keseluruhan, hanya ketinggalan dua gol di belakang legenda negara, Indra Putra Mahayuddin.

Jika momentum ini berterusan, tidak mustahil Bergson bakal mengukir namanya sebagai penjaring terbanyak dalam sejarah Liga Malaysia, sekali gus menambah satu lagi trofi individu ke dalam koleksi peribadinya yang sudah sedia gah.