BILA bercakap soal penjaring prolifik di Liga Super Malaysia, nama Bergson da Silva tidak pernah ketinggalan.

Kini, penyerang import Johor Darul Ta’zim (JDT) itu tidak lagi sekadar berada di carta teratas beliau secara rasmi telah mengukir sejarah sebagai pemain pertama dalam sejarah Liga Super yang menjaringkan lebih 30 gol dalam satu musim.

Aksi menentang Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) di Stadium Sultan Ibrahim malam tadi menyaksikan Bergson mempamerkan keampuhan sebenar di hadapan gol apabila meledak lima jaringan, sekali gus membantu Harimau Selatan membenam lawan dengan keputusan besar 9-0.

Jaringan itu bukan sahaja membolehkan JDT terus gah di puncak liga, malah membuka lembaran baharu dalam sejarah bola sepak tempatan apabila Bergson kini mencatat 31 gol untuk musim 2024/25, memadamkan rekod peribadinya sendiri yang terdahulu, iaitu 29 gol pada musim 2022.

Ketika musim 2022 menyaksikan beliau diangkat sebagai penjaring terbanyak Liga Super, diekori rapat oleh pemain Selangor FC ketika itu, Herlison Caion (14 gol), musim ini menyaksikan dominasi mutlak tanpa saingan yang hampir.

Lebih menarik, rekod baharu ini dicapai ketika Liga Super masih berbaki satu lagi perlawanan, di mana JDT akan turun menentang Kuching City pada 16 April ini.

Ini bermakna, Bergson masih berpeluang untuk menambah jaringan dan terus melebarkan jurang rekod peribadinya, sesuatu yang pasti menjadi perhatian peminat setia Harimau Selatan.

Jika dia menjaringkan sekurang-kurangnya tiga gol, satu lagi rekod menanti,  memintas Indra Putra Mahayuddin sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Super. Indra kini kekal dengan 106 gol, manakala Bergson sudah pun mengumpul 104.

Pada usia 33 tahun, Bergson terus membuktikan usia hanyalah angka apabila gaya permainan, ketajaman naluri gol dan ketenangan dalam situasi genting masih kekal pada tahap luar biasa menjadikannya watak penting dalam misi JDT memburu kejuaraan liga.

Dengan prestasi semasa yang sukar ditandingi dan sentiasa lapar menjaringkan gol, sukar untuk menafikan bahawa nama Bergson kini sudah terukir dalam lipatan sejarah sebagai antara penyerang paling ikonik pernah beraksi di bumi Malaysia.