BERTRAND Roddict Lises muncul atlet pertama negara mengesahkan diri ke Temasya Sukan Olimpik Paris 2022 selepas menduduki ranking ke-10 dunia di separuh akhir, Kejohanan Akuatik Dunia yang berlangsung di Fukuoka, Jepun.
Betrand mencatat 420.70 mata pada separuh akhir 10 meter (m) platform individu, menduduki tangga ke 10, bukan sekadar mara ke final dijangka berlangsung petang ini, malah mendapat tiket merit ke Paris.
Ketika atlet lain diserapkan ke dalam program Road to Gold, iaitu program khas bagi memburu pingat emas pertama negara di temasya Olimpik, belum mendapat slot, malah ada yang gagal mempamerkan prestasi terbaik, Bertrand Roddict mencuri tumpuan, dan kejayaan ini pasti menjadikannya atlet yang paling layak berada dalam program terbabit.
Ketua Kontinjen negara ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin gembira dengan pencapaian itu melahirkan keyakinannya, bahawa lebih ramai atlet negara bakal mengikuti jejak langkah penerjun muda itu.
“Tahniah buat penerjun muda Bertrand Rhodict Lises yang muncul atlet pertama Malaysia menempah slot secara merit ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas dia berjaya melangkah ke pentas final 10 meter (m) platform lelaki di Kejohanan Akuatik Dunia 2023.
“Saya yakin lebih ramai atlet akan layak ke Olimpik 2023 selepas kejayaan Bertrand,” kata Hamidin.
Pada final 10m platform individu petang Sabtu, Bertrand Rhodict berjaya mengekalkan kedudukan ke-10, namun berjaya menambah mata terjunan kepada 442.35 mata, berbanding di separuh akhir, 420.70 mata.
Atlet muda negara itu cemerlang pada pusingan awal apabila mengumpul 449.65 mata untuk menduduki ranking ketiga di belakang dua atlet China.
Begitupun pada final, kejutan berlaku apabila penerjun Australia, Cassiel Rousseau meraih pingat emas dengan 520.85 mata, menewaskan dua penerjun China, Lian Junjie (512.35 mata) dan Yang Hao (504.00 mata) untuk perak dan gangsa.