KETUA Jurulatih Kuching City FC, Irfan Bakti Abu Salim memuji pengurusan Kuching City FC kerana biarpun hanya kelab kecil namun pengurusan bijak dalam mengendalikan pemain dan staf secara profesional.
“Inilah satu-satunya pasukan yang tidak berbelanja besar, kami ini kelab kecil tetapi mempunyai semangat juang yang tinggi.
” Semenjak saya berada di sini, tidak pernah lagi mengalami masalah seperti itu. Ia adalah pengurusan yang profesional.
“Gaji 23 haribulan sudah dapat. Ia macam orang bekerja kerajaan. EPF, Income Tax semua dikemaskini. Jadi ini satu yang baik. Kami langsung tidak ada masalah dalaman,” ujarnya ketika dihubungi FLASH SUKAN.
Dalam pada itu, pengendali berusia 71 tahun itu menasihati pemainnya agar sentiasa berwaspada helah yang bakal dipamerkan pasukan Sabah FC.
” Kami bermain di home. Bagaimana sekalipun, kami harus berhati-hati. Walaupun tiada away goal, kami ingin mencapai kemenangan.
” Jadi, kami harus menyerang, kita lihat keadaan. Saya pun sedang meneliti video antara Sabah FC menentang UiTM tempoh hari dan kita akan mengkaji semula,” jelasnya.
Mengimbau kegemilangan Sabah hampir separuh abad lalu, jurulatih kelahiran Bukit Mertajam itu menagih pemain agar mempamerkan karakter masing-masing dalam perlawanan menentang Sabah FC.
“Saya ingin pemain menunjukkan semangat juang yang tinggi. Saya mahu mereka mengulangi kegemilangan 30, 40 tahun dahulu.
“Orang hendak datang ke Sarawak pun takut dahulu. Takut dengan kehadiran penonton, takut dengan mainan Sarawak itu sendiri. Itu yang saya minta budak-budak ini menunjukkan karakter tersebut,” katanya.