DI bawah dingin Lingkaran Artik, Bodo/Glimt membuktikan kejayaan musim lalu bukan kebetulan apabila menghadiahkan Manchester City kekalahan memalukan 3-1 dalam aksi Liga Juara-Juara di Aspmyra Stadium, awal pagi tadi, sekali gus menutup mulut mereka yang menganggap separuh akhir Liga Europa musim lalu sebagai had maksimum kemampuan kelab Norway itu.

Dengan pelan taktikal yang kemas, anak buah Kjetil Knutsen memerangkap City melalui serangan balas pantas, menghukum garisan pertahanan tinggi pelawat sehingga dibolosi tiga kali, sebelum mengawal perlawanan dengan disiplin tinggi.

Kekalahan itu memaksa Pep Guardiola mengakui kualiti sebenar tuan rumah, sambil menolak dakwaan beliau memandang rendah lawan.

“Dari segi pertahanan mereka sangat luar biasa, jurulatih sama sejak enam, tujuh tahun, pemain sama, dan itu memberi konsistensi dalam tugasan. Saya beri penghormatan penuh.”

“Musim lalu mereka mara ke separuh akhir Liga Europa. Itu bukti mereka pasukan bertaraf tinggi, sangat hebat,” katanya.

Guardiola menjelaskan percubaannya menurunkan barisan lebih muda dan menyimpan beberapa pemain berpengalaman tidak menjadi, terutama apabila City gagal memecahkan kepadatan tengah Bodo.

“Mereka menutup ruang di tengah dengan sangat baik, jadi anda perlu bermain ke sisi. Kami pula tiada pemain untuk situasi satu lawan satu atau larian ke belakang pertahanan, sebab itu kami sedikit bergelut,” katanya lagi, sebelum mengakui, “Namun secara keseluruhan, sebagai pasukan tradisional seperti kebanyakan pasukan Eropah Utara, mereka sangat bagus. Tahniah kepada mereka. Tiada alasan lain.”

City hanya mampu merapatkan jurang menerusi Rayan Cherki ketika ketinggalan 0-3, sebelum sebarang harapan kebangkitan padam selepas kapten, Rodri, dibuang padang akibat dua kad kuning.

Guardiola mengulas insiden itu dengan nada reda, “Ia sedikit lembut, kad kuning kedua itu, tetapi itulah keputusannya. Pada saat kedudukan menjadi 3-1, segalanya seakan tidak memihak kepada kami,” katanya, ketika Bodo/Glimt sekali lagi membuktikan pasukan dari Artik ini bukan lagi cerita dongeng Eropah.