PEMAIN ke-12 Johor Darul Ta’zim (JDT), Boys of Straits sangat terkenal dengan budaya dan semangat menyokong yang tidak berbelah bahagi kepada skuad Harimau Selatan walau di mana pun mereka beraksi.
Perlawanan bola sepak domestik tidak kira sama ada perlawanan Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia hinggakan kepada sukan lain yang membawa nama Johor pastinya akan dihadiri oleh budak belakang tiang gol ini.
Nama Boys of Straits sudah tidak perlu diperkenalkan di senario bola sepak tempatan kerana mereka sering tampil dengan lagu yang menarik, chant yang bersemangat, choreo yang seragam dan tifo yang cantik dan tidak kurang juga kadang kala mengundang kontroversi.
Apabila Johor Bahru diumumkan sebagai tuan rumah berpusat untuk perlawanan peringkat Kumpulan I, Liga Juara-Juara AFC (ACL), ramai yang teruja dan Boys of Straits sudah pastinya tidak akan melepaskan peluang ini untuk menunjukkan kepada Asia siapa mereka.

Foto: FB Boys of Straits
Dengan enam aksi di tempat sendiri dan kesemuanya akan dipancarkan secara langsung ke seluruh Asia, nama dan semangat serta budaya menyokong Boys of Straits pastinya akan mendapat perhatian yang lebih meluas.
Jika sebelum ini mereka sanggup berhabisan untuk ke Thailand, Jepun, Korea Selatan dan China demi menyokong Merah Biru, kini semuanya berada di laman sendiri dan mereka bersedia dan akan bersatu menyokong JDT selama 90 minit sekaligus menimbulkan gerun kepada pasukan lawan.
Boys of Straits juga sebelum ini berbangga kerana mereka muncul di dalam permainan video Konami dengan panji-panji dan gaya berseragam hitam jelas kelihatan di dalam permainan video tersebut.
Selain itu, pasukan hoki Jerman pernah mengakui kehebatan sokongan Boys of Straits ketika perlawanan hoki antarabangsa di Johor Bahru. Malah skuad Jerman itu turut sama-sama mengikut tarian yang digayakan selepas tamat perlawanan.
Ini semua adalah sebahagian momen-momen manis yang terkandung dalam lipatan sejarah mereka dan kini satu lagi momen baharu bakal dicipta selama enam malam di Iskandar Puteri.
Mampukah Boys of Straits mengundang rasa takut kepada pasukan lawan sekaligus memberikan kelebihan buat JDT di Stadium Sultan Ibrahim untuk melengkapkan magis malam Asia. Ini adalah pentasnya.
“Mess with the best, die with the rest’ – Boys of Straits 2010