MISI Manchester City memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) menerima tamparan hebat apabila Brighton bangkit mengikat keputusan seri 1-1, awal pagi tadi.
Erling Haaland meletakkan City di depan menerusi sepakan penalti pada babak pertama di Stadium Etihad, namun jaringan ke-150 penyerang itu bersama kelab tidak cukup untuk menghadiahkan kemenangan penting.
Dibebani masalah kecederaan yang semakin meruncing, City beraksi jauh di bawah prestasi sebenar sebelum Kaoru Mitoma menghukum mereka dengan gol penyamaan pada babak kedua.
Skuad kendalian Pep Guardiola yang berada di tangga kedua kini ketinggalan lima mata di belakang pendahulu, Arsenal yang akan menerima kunjungan juara bertahan Liverpool, awal pagi esok.
Kemenangan buat The Gunners bakal melebarkan jurang kepada lapan mata dalam perebutan kejuaraan.
Gol ke-26 penyerang Norway itu musim ini menamatkan kemarau tiga perlawanan tanpa jaringan, namun ia jauh daripada persembahan terbaiknya apabila beberapa peluang keemasan disia-siakan.
City turut dibelenggu senarai panjang pemain tidak dapat diturunkan apabila Josko Gvardiol dan Ruben Dias menyertai John Stones diketepikan kerana kecederaan hujung minggu lalu.
Omar Marmoush, Rayan Ait-Nouri, Savinho, Oscar Bobb dan Mateo Kovacic juga tidak bersama pasukan susulan masalah kecergasan serta tugasan antarabangsa.
City dilaporkan hampir memuktamadkan perpindahan pemain sayap Bournemouth, Antoine Semenyo dan turut dikaitkan dengan pertahanan Crystal Palace, Marc Guehi.
Namun sebelum kehadiran pemain baharu bagi meredakan tekanan, Guardiola terpaksa menurunkan pertahanan tengah remaja, Max Alleyne bagi penampilan sulungnya.
Alleyne, 20, bergandingan dengan Abdukodir Khusanov di benteng pertahanan yang bergelut sejak awal perlawanan, termasuk hampir menghadiahkan gol awal kepada Brighton apabila Gianluigi Donnarumma hampir membiarkan bola bergolek masuk ke gawang sendiri.
City kelihatan tercungap-cungap, namun masih berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-41.
Rayuan penalti Jeremy Doku pada awalnya ditolak selepas lariannya disekat oleh Diego Gomez, tetapi VAR membatalkan keputusan itu sebelum Haaland menyempurnakan sepakan penalti untuk rekod terbaharunya.
Namun kelebihan itu tidak bertahan lama apabila pasukan Guardiola dibolosi secara mudah selepas sejam permainan.
Mitoma menguasai bola dari jarak 20 ela, mara tanpa tekanan daripada pemain tengah City, Nico Gonzalez sebelum melepaskan rembatan leret menewaskan Donnarumma. – AFP