CHELSEA mengalami kekecewaan dalam saingan Piala FA 2024/2025 selepas disingkirkan oleh Brighton & Hove Albion dengan kekalahan 1-2 di pusingan keempat.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium American Express, Brighton, pada awal pagi Ahad, The Blues terlebih dahulu mendahului tuan rumah. Pada minit ke-5, penjaga gol Brighton, Bart Verbruggen, gagal menghalang percubaan Cole Palmer yang akhirnya masuk ke gawang sendiri, memberikan Chelsea kelebihan 1-0.
Namun, kelebihan itu tidak bertahan lama apabila Brighton berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-12. Georginio Rutter menanduk masuk bola hasil hantaran Joel Veltman untuk menjadikan kedudukan 1-1.
Selepas itu, perlawanan berlangsung sengit dengan kedua-dua pasukan saling berusaha menguasai permainan. Chelsea cuba beberapa kali mengancam kubu Brighton, tetapi sehingga tamat babak pertama, kedudukan kekal terikat 1-1.
Georginio Rutter with a perfectly placed header for @OfficialBHAFC 🔵⚪️#EmiratesFACup pic.twitter.com/awqBRNts61
— Emirates FA Cup (@EmiratesFACup) February 8, 2025
Memasuki separuh masa kedua, Brighton terus meningkatkan tekanan dan hasilnya, Kaoru Mitoma meledak gol kedua pada minit ke-57 menerusi hantaran Rutter. Jaringan itu membolehkan Brighton mendahului 2-1.
Chelsea cuba bangkit dengan beberapa percubaan berbahaya daripada Cole Palmer dan Enzo Fernandez, tetapi pertahanan Brighton tampil kukuh untuk mengekang serangan pasukan pelawat. Malah, Brighton turut mencipta beberapa peluang berbahaya menerusi aksi cemerlang Mitoma.
Sehingga wisel penamat ditiup, keputusan 2-1 kekal memihak kepada Brighton & Hove Albion, yang kini mara ke pusingan kelima Piala FA, manakala Chelsea terpaksa akur dengan penyingkiran mereka dari kejohanan ini.