Alexis Mac Allister mengakui Liverpool perlu menilai semula prestasi mereka meskipun jaringan minit ke-97 miliknya menghadiahkan kemenangan 1-0 ke atas Nottingham Forest dalam aksi Liga Perdana Inggeris.
The Reds kelihatan tumpul di jentera serangan ketika menentang pasukan yang sedang bergelut di zon penyingkiran sebelum Mac Allister muncul penyelamat dalam masa kecederaan.
Terdahulu, gol pemain Argentina itu dibatalkan selepas bola terkena lengannya ketika cuba menghalang percubaan Ola Aina.
Namun, percubaan lewatnya kali ini disahkan walaupun Hugo Ekitike berada dalam kedudukan ofsaid lebih awal dalam gerakan berkenaan.
“Perasaan bercampur-campur. Saya suka menjaringkan gol dan menang, jadi itu hari yang baik.
“Tetapi pada masa sama, kami tidak bermain dengan baik. Banyak perkara perlu diperbaiki,” kata Mac Allister.
Kemenangan itu mengekalkan Liverpool di tangga keenam, namun kini berkongsi mata dengan Chelsea dan Manchester United dalam perebutan slot Liga Juara-Juara musim depan.
Mac Allister secara terbuka mengkritik babak pertama Liverpool yang dianggap di bawah standard, dengan penjaga gol Alisson Becker menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya tuan rumah.
“Babak pertama langsung tidak baik. Posisi, intensiti, tekanan – semuanya tidak menjadi.
“Separuh masa kedua sedikit lebih baik, tetapi bukan tahap sebenar kami. Yang penting kami menang,” katanya.
Liverpool turut menerima tamparan sebelum sepak mula apabila Florian Wirtz cedera ketika sesi pemanas badan.
Pengendali Liverpool, Arne Slot bagaimanapun berharap kecederaan pemain Jerman itu tidak serius.
“Kami tidak fikir ia serius, tetapi dia rasa sakit di bahagian belakang ketika pemanas badan. Kami putuskan untuk tidak mengambil risiko.
“Kami harap dia boleh kembali minggu depan, tetapi kita tidak pernah tahu,” kata Slot.
Liverpool kini perlu lebih konsisten jika mahu menembusi kelompok empat teratas menjelang baki perlawanan musim ini. – AFP