ISU percakaran antara Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim bukanlah perkara baharu.
Terbaharu, Sanusi menerusi sidang media selepas menghadiri program Santai Anak Utara di Taman Jubli Emas, Alor Setar pada Sabtu berkata bahawa maksud tokong itu supaya bola sepak ini kembali kepada semua orang dan sekali lagi mengulangi pendirian mahu menceritakan kepada semua tentang apa yang diketahui.
“Saya maksudkan ‘tokong’ itu jangan terlalu supreme atau semua orang kena tanya dia. Mana boleh macam itu. Bola sepak permainan untuk semua orang.
“Dia ‘order’ sana, ‘order’ sini, suruh buat ini, suruh buat itu. Kawan nak pergi latih sana, kena tanya dia dulu. Lepas itu dia ’round’ pusing pasukan lain, beri bonus kalau menang dengan Kedah. Saya tahu semua itu. Dia ingat orang tak tahu. Jangan bagi saya cerita semua,” ujarnya.
Kenyataan ini telah mendapat maklumbalas daripada Tunku Ismail yang menyatakan jika benar apa yang dimaksudkan oleh Sanusi itu, beliau perlukan menyertakan bukti dan fakta.
Tunku Ismail juga menyatakan ini adalah taktik biasa yang digunakan oleh ahli politik yang mahu mengalih perhatian terhadap kegagalan pasukan sendiri.
“Dia cakap pasal siapa? Sebut nama. Ceritakan segala-galanya. Ini cakap main sembur badut McDonald pun boleh. Cerita semua, keluarkan bukti dan fakta. Setiap kali tenggelam terus buat cerita sensasi nak naikkan rating. Typical Politician,” tulis Tunku Ismail di laman Twitter rasminya.
Drama bola sepak inilah yang memeriahkan lagi senario bola sepak tempatan. Semoga segala permasalahan dapat diselesaikan dan kedua-dua pihak demi kepentingan bersama.