SELEPAS Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menafikan segala isi surat layang daripada ‘UltrasFAM’, kini tunjang Ultras Malaya iaitu Lekir pula tampil memberikan penjelasannya.

Menurut Lekir, segala apa yang dinyatakan oleh penulis surat layang berkenaan adalah fitnah semata-mata kerana dirinya juga masih sedar akan hukum dan falsafah bola sepak yang perlu dijaga.

Oleh itu, satu laporan polis terpaksa dibuat demi menjaga nama baik dan maruah dirinya sebagai pemimpin gerakan penyokong Ultras Malaya.

Lekir membuat laporan polis berkaitan isu surat layang yang tersebar.

“Tiba masanya untuk saya memulakan bicara yang tidak perlu panjang tetapi cukup untuk menafikan segala fitnah yang tersebar luas berkaitan diri saya di bulan suci ini.

“Segala fitnah berkaitan subsidi ke luar negara untuk menyokong pasukan kebangsaan adalah salah dan semua kos adalah atas biaya saya sendiri. Persepsi yang mengatakan saya melobi atau mendapatkan projek daripada FAM juga salah kerana saya tiada apa-apa yang mahu dikejarkan dalam FAM, saya ada kerjaya saya sendiri dan Alhamdulillah saya cukup makan dengan cara ini.

“Tidak dinafikan ada beberapa kali saya turun ke FAM untuk bertemu dengan Presiden dan Setiausaha Agung untuk membincangkan perihal penyokong untuk ke Piala Asia Qatar tahun lalu.

Lekir menafikan segala dakwaan yang tidak benar terhadap dirinya.

“Segala apa yang saya lakukan dalam perjalanan bola sepak ini, saya masih tahu hukum dan falsafah bola sepak yang perlu saya jaga,” menurut kenyataan yang dikeluarkan sendiri oleh Lekir.

Bagi Lekir, pertuduhan berat yang telah dilemparkan kepadanya ini wajar untuk diadukan kepada polis supaya pihak tersebut dapat menjalankan siasatan selanjutnya ke atas fitnah berkenaan.

Lekir mahu imejnya kembali bersih setelah diaibkan dengan jelas oleh penghantar surat layang tersebut, dan laporan polis yang dibuat akan menjadi satu titik permulaan untuk dirinya membuat tindakan seterusnya jika memerlukan dia berbuat sedemikian.

Sebelum ini, tular surat layang yang di hantar melalui e-mel kepada media mengenai salah guna kuasa dalam pengurusan FAM, gaji serta manfaat staf, isu membabitkan skuad Harimau Malaya dan projek NTC.

Turut disentuh oleh surat tersebut adalah mengenai Ultras Malaya yang didakwa sudah ‘dibeli’ oleh FAM sehinggakan telah hilang taring untuk mengkritik persatuan itu.