Michael Carrick mengakui kecewa dengan ketumpulan Manchester United ketika seri 1-1 menentang West Ham yang bergelut di tangga bawahan, awal pagi tadi.

Pasukan kendaliannya mempamerkan aksi di bawah kemampuan sebenar untuk tempoh yang panjang di timur London dan ketinggalan hasil jaringan Tomas Soucek pada minit ke-50.

United terpaksa menunggu gol penyamaan Benjamin Sesko pada minit keenam masa kecederaan untuk mengelak kekalahan pertama sepanjang lima perlawanan Carrick selaku pengurus sementara.

Walaupun kekal di tangga keempat Liga Perdana Inggeris (EPL) hasil jaringan dramatik Sesko, Carrick mengakui pasukannya kurang keserasian dan sentuhan tajam di jentera serangan.

“Saya fikir kami sedikit kecewa dan jelas bukan pada tahap terbaik. Saat seperti ini anda perlu cari jalan dan teruskan. Saya agak kecewa dengan perkara itu,” katanya.

“Ia satu gelanggang yang sukar dan kami tidak ada ketajaman untuk mencari jawapan. Semangat pemain tetap hebat dan kami terima satu mata serta teruskan.

“Dengan keadaan kami dan tempoh singkat bersama, akhirnya kami perlu terima satu mata.

“Ia tidak mudah, tetapi kami tetap menemui jalan. Kami akan ambil beberapa perkara positif daripadanya.”

Gol kelima Sesko dalam enam perlawanan terakhir mengekalkan peningkatan prestasinya selepas permulaan hambar musim pertamanya bersama United susulan perpindahan dari Leipzig.

“Penyudah yang hebat. Dia lakukannya lagi. Ia sangat penting. Jaringan yang cantik. Saya gembira untuk dia. Satu lagi gol besar dan langkah yang baik,” kata Carrick.

Keputusan dramatik United itu menyaksikan West Ham kekal terperangkap dalam zon penyingkiran.

Carrick berharap bekas kelabnya itu mampu bangkit menjauhkan diri daripada kelompok tiga terbawah.

“Saya harap mereka kekal dalam liga. Kelab ini sebahagian besar hidup saya dan saya ada kenangan indah di sini, jadi saya harap mereka kekal,” katanya. – AFP