UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) telah memberikan insentif kemenangan kepada atlet-atlet mereka yang mewakili negara ke temasya Sukan SEA 2023 di Kemboja pada 5 hingga 17 Mei yang lalu.

Insentif yang diberikan bagi menghargai kepada 11 daripada 18 atlet  yang berjaya memenangi pingat sebanyak dua emas, empat perak dan lima gangsa pada kejohanan tersebut sekaligus mengharumkan nama negara serta UiTM sendiri.

Profesor Dr. Mohd Sazili Shahibi (baju hijau) di majlis penyerahan insentif

Timbalan Naib Canselor HEP UiTM, Profesor Dr. Mohd Sazili Shahibi berkata, UiTM sentiasa menjaga kebajikan atlet-atlet khususnya yang telah berjaya melangkah ke peringkat antarabangsa sekaligus mengharumkan nama negara serta universiti itu sendiri.

“UiTM bukanlah kubur bagi atlet tetapi UiTM adalah tempat untuk atlet menimba ilmu akademik serta ilmu dalam bidang sukan bagi melahirkan ‘thinking athlete’  supaya menjadi seorang yang bijak menguruskan diri secara profesional sebelum, semasa dan juga selepas pertandingan

“UiTM akan memberikan kelebihan kepada para atlet yang berjaya menyumbangkan pingat di peringkat antarabangsa dengan memberikan insentif di bawah Skim Hadiah Kecemerlangan Sukan iaitu pengecualian yuran pengajian sehingga tamat belajar dan juga kemudahan kolej kediaman secara percuma bagi menunjukkan betapa seriusnya UiTM tentang menjaga kebajikan pelajar,” katanya ketika berucap pada majlis yang berlangsung di Bangunan Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin pada Jumaat.

Melalui Majlis Penyampaian Insentif dan Wang Saku, ganjaran diterima oleh atlet adalah RM1,000 kepada pemenang pingat emas, RM750 pemenang pingat perak dan RM500 kepada pemenang pingat gangsa.

Dalam masa yang sama, Nur Amisha Azrilrizal merupakan atlet UiTM Shah Alam, dari Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi yang dinobatkan sebagai juara di Kejohanan Muay Thai Dunia 2023, Bangkok, Thailand dalam kategori 51kg Wanita B23 turut menerima Insentif Atlet bernilai RM1,000.

Nur Amisha menerima wang insentif

Sebagai rekod, Nur Amisha trurut beraksi pada Sukan SEA 2023 namun terpaksa menarik diri berikutan masalah teknikal daripada pihak penganjur.