KETUA Pegawai Eksekutif Formula E, Jeff Dodds berani bertaruh USD250,000 untuk diserahkan kepada badan kebajikan sekiranya mana-mana pelumba Formula 1 dapat menghalang Max Verstappen dari menjadi juara dunia musim 2024.

Verstappen yang memandu jentera Red Bull Racing adalah juara dunia F1 tiga kali selepas muncul juara keseluruhan pada 2021, 2022 sebelum mendominasi musim 2023 dengan 18 kemenangan dari 21 perlumbaan.

Hal ini membuatkan Eksekutif tertinggi Formula E berani meletakkan taruhan dengan mengatakan 99 peratus kejuaraan Formula 1 musim ini akan menjadi milik Verstappen sekali gus menyamai pencapaian seorang lagi bekas pemandu Red Bull Racing, Sebastian Vettel.

“99 peratus Max akan mendapat trofi kejuaraan itu. Jika dia tidak menang dan salah seorang dari 19 pelumba yang lain memenanginya, kami akan memberikan suku juta dolar kepada mana-mana badan kebajikan yang dipilih pelumba yang berjaya menewaskan Max.

“Ianya bukanlah perkara yang buruk untuk memberikan sumbangan kepada badan kebajikan tetapi ianya seakan sudah tertulis milik Max kerana sebagai peminat Formula 1, kita sudah boleh jangkakan siapa bakal bergelar juara, berbeza dengan kami di Formula E.

“Anda tidak boleh memenangi 18 dari 21 perlumbaan dalam semusim, berehat sebentar dalam masa sama membangunkan jentera untuk tidak mengulangi pencapaian itu dan atas sebab itu kami yakin,” jelasnya dalam satu temubual.

Max Verstappen ketika hari pertama F1 Testing di Litar Antarabangsa Bahrain

Perkara ini menjadi lebih menarik apabila laman sosial Formula E memuat naik hantaran yang menunjukkan perbualan menerusi Whatsapp antara Dodds dan pengerusi, Alejandro Agag yang mahu wang itu dibayar sendiri oleh Dodds sekiranya perkara itu benar-benar berlaku.

Musim baharu Formula 1 kini sudah bermula dengan ujian pramusim di Bahrain sebelum perlumbaan pertama yang juga berlangsung di Litar Sakhir pada 2 Mac 2024.