CHELSEA FC telah mengenalpasti dan menyenaraihitamkan seorang pemegang pas bermusim selama-lamanya selepas beberapa laporan diterima berhubung isu penyerang Tottenham Hotspurs, Son Heung Min yang menerima penghinaan berbaur perkauman dari peminat The Blues.

Insiden tersebut berlaku apabila bintang Korea Selatan itu ingin mengambil sepakan sudut pada separuh masa kedua yang menyaksikan perlawanan berkesudahan 2-2 setelah Harry Kane menyumbat masuk gol kedua pada masa tambahan.

Dalam satu kenyataan awal minggu ini, kelab dari barat London itu berkata perlakuan sedemikian adalah sama sekali tidak dibenarkan dan dikutuk sekeras-kerasnya.

Son Heung-min dihina peminat Chelsea.

“Chelsea FC telah secara konsisten enggan bertolak-ansur dengan sebarang bentuk penghinaan dan diskrimasi sebegini, namun masih terdapat golongan bodoh yang kononnya mengaku sebagai penyokong tegar.

“Perlakuan sedemikian memang memalukan Chelsea FC yang terdiri daripada jurulatih, pemain, staf pengurusan dan penyokong sejati pasukan kami. Mereka tiada tempat dalam komuniti di sini,” jelasnya.

Sehubungan dengan itu, pihak pengurusan kelab tersebut telah mengambil inisiatif dengan mengadakan kempen ‘No To Hate’ yang ditampal peraturan kepada penyokong di belakang tempat letak duduk.

Son mempersoalkan tindakan perkauman yang dilakukan penyokong terhadapnya.

Poster tersebut juga menunjukkan bagaimana seseorang boleh membuat laporan berhubung sebarang bentuk penghinaan melalui teks mesej atau barkod pada telefon bimbit masing-masing.

Mereka percaya dengan tindakan sedemikian dapat membantu mengesan dan menangkap lebih banyak golongan yang tidak bermoral ini.

Sebelum ini, kelab tersebut telah mengenakan tindakan menggantung seumur hidup penyokong yang melakukan penghinaan yang berbaur perkauman.