CHELSEA tidak berdaya di kubu Brighton & Hove Albion, American Express Stadium, selepas tewas 0-3 dalam aksi Liga Perdana Inggeris 2024/2025 pada awal pagi Sabtu.
Tiga gol Brighton ke gawang The Blues dijaringkan oleh Yankuba Minteh pada minit ke-38 dan ke-63, manakala satu lagi gol disumbangkan oleh Kaoru Mitoma pada minit ke-27.
Tuan rumah mempamerkan permainan yang agresif sejak awal perlawanan, menyebabkan barisan pertahanan Chelsea berdepan kesukaran untuk bertahan.
Kaoru Mitoma membuka tirai jaringan pada minit ke-27 menerusi satu serangan balas pantas, memberikan Brighton kelebihan 1-0.
Defeat.#CFC | #BHACHE pic.twitter.com/BG09GP1FeV
— Chelsea FC (@ChelseaFC) February 14, 2025
Sebelas minit kemudian, gawang Chelsea sekali lagi dibolosi, kali ini menerusi Yankuba Minteh yang melepaskan rembatan dari depan gawang The Blues. Brighton mendahului 2-0 sehingga tamat babak pertama.
Memasuki separuh masa kedua, Chelsea masih gagal menemui jaringan. Serangan yang diketuai oleh Cole Palmer dan rakan-rakan berjaya dipatahkan oleh barisan pertahanan Brighton.
Malah, Chelsea dikejutkan lagi apabila Minteh sekali lagi mencetak gol pada minit ke-63, menjadikan kedudukan 3-0 buat Brighton.
The Blues mempunyai beberapa peluang untuk merapatkan jurang, tetapi tiada satu pun yang berjaya menghasilkan gol. Hingga wisel penamat ditiup, Brighton mencatat kemenangan bergaya 3-0 ke atas Chelsea.